Friday, May 21, 2010

Peperiksaan~oh Peperiksaan~

Seperti yang kita maklum, bahawa mahasiswa dan mahasiswi Universiti Al Azhar tidak lama lagi akan menempuhi peperiksaan. Oleh itu marilah kita sama-sama menyelami erti peperiksaan serta kepentingannya, fokus untuk kita pelajar universiti bahkan kepada semua pelajar tidak kira di peringkat sekolah rendah mahupun menengah.

Bila ditanyakan tentang peperiksaan, semua penuntut akan merasa takut dan gemuruh. Ada yang mengatakan alangkah indahnya dunia ini jika tiada peperiksaan ataupun imtihan bagi penuntut-penuntut, dan ada yang mengatakan peperiksaan ini satu penyeksaan bagi mereka. Ini disebabkan ada beberapa kemungkinan. Antaranya ialah :
• Persediaan yang tidak cukup.
• Memikirkan soalan-soalan yang akan dikemukakan di kertas soalan.
• Tidak merasa yakin untuk menghadapinya kerana takut tidak dapat menjawab soalan dengan baik.
• Mempunyai harapan yang tinggi untuk lulus dalam peperiksaan.
• Terasa persediaan belum mantap sepenuhnya dan sebagainya.

Kehidupan sekarang menjadi sangat kompleks kerana peperiksaan adalah sebahagian dari kepentingan dalam pendidikan. Peperiksaan boleh dikatakan sebagai ujian untuk menguji tahap kebolehan seseorang pelajar dalam pembelajaran. Kebolehan penuntut lulus dalam peperiksaan adalah kualiti yang berharga lebih-lebih lagi yang lulus dengan keputusan yang cemerlang. Ini menunjukkan kemampuan penuntut itu dalam mengungkapkan pemikiran mereka dan idea-idea yand dapat difahami oleh pemeriksa. Ia juga menunjukkan penuntut itu memperolehi pengetahuan, kefahaman dan maklumat mengikut bidang yang mereka ceburi. Selain itu, peperiksaan juga dapat melatih otak pelajar untuk berfikir apabila mereka membuat persediaan untuk peperiksaan. Kejayaan penuntut adalah dari peperiksaan. Bukan itu sahaja, bahkan peperiksaan membantu pencari pekerja atau majikan untuk mentaksir cara pemikiran dan kebolehan yang ada pada lepasan para graduan.

Walau bagaimanapun, sebahagian berpendapat bahawa peperiksaan hanya setakat menguji kemahiran sahaja. Mereka mengatakan bahawa seseorang yang mempunyai hafalan yang kuat dan kelebihan sahaja yang mampu untuk lulus dalam peperiksaan dan memperolehi keputusan yang memuaskan walaupun mereka tidak ada pemikiran dan imaginasi tersendiri. Akan tetapi kita patut menyedari bahawa pada masa sekarang sukatan pelajaran atau ‘syllabus’ adalah meluas yang mana penuntut tidak dapat bergantung kepada hafalan semata-mata untuk lulus dalam ujian peperiksaan. Sekarang penuntut tidak sepatutnya mempunyai pengetahuan dalam mata pelajaran semata-mata akan tetapi hendaklah penuntut itu mampu menunjukkan kepandaianya dan kebolehannya dalam menjawab soalan lebih-lebih lagi dalam peperiksaan tinggi. Oleh yang demikian, dari kebolehan penuntut lulus dalam peperiksaan, tenaga pengajar dan orang sekelilingnya dapat melihat kefahamannya dalam mata pelajaran yang dia pelajari dan kecerdasan otaknya. Peperiksaan juga membuatkan pelajar itu terpaksa membaca sebanyak yang mungkin mengikut kemampuan masing-masing, di samping itu mereka akan memperolehi maklumat dan pengetahuan tanpa disedari.

Cuba kita bayangkan jika tidak ada peperiksaan bagi pelajar-pelajar, tentu sahaja pelajar sekarang kurang mempunyai pengetahuan dan kesungguhan mereka dalam belajar serta hilangnya semangat dalam persaingan yang sihat di antara pelajar-pelajar itu sendiri. Bukan itu sahaja, malah kita tidak dapat melihat kemajuan yang dicapai oleh masyarakat pada zaman sekarang.

Oleh itu marilah kita sama-sama bersemangat untuk menempuhi peperiksaan yang akan menjelang tidak lama lagi dengan membuat persediaan yang mantap dan berusaha sedaya upaya untuk mendapat keputusan yang memuaskan. Dan tidak lupa kita iringi dengan doa dan tawakal kepada Allah SWT. Kejayaan kita perolehi nanti bukan sahaja menggembirakan orang tua kita, malah ia dapat membantu kita untuk menjalani kehidupan dan masa depan yang lebih cerah. Bak kata pepatah bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian.

Dengan demikian mari kita sama-sama berkongsi beberapa tip sebagai persediaan menghadapi peperiksaan yang bakal dihadapi nanti. Antaranya ialah:

1.SEMAK JADUAL
Menyemak jadual peperiksaan penting bagi menentukan masa yang cukup untuk belajar, khususnya pada saat akhir-akhir ini. Latihan mesti diteruskan mengikut kertas peperiksaan yang akhir diduduki terlebih dahulu. Ini kerana apabila tiba hari peperiksaan, calon akan belajar subjek yang akan diuji pada hari pertama peperiksaan.

Jika melakukan demikian, bermakna anda telah membuat persiapan yang menyeluruh dan tidak ada subjek yang tertinggal atau tidak dipelajari.

2.KUNCI PEPERIKSAAN
Apakah kunci peperiksaan? Peperiksaan menuntut calon membuat banyak latihan dan ulang kaji bagi mengingati pelajaran lalu, selain mengelak diri daripada lupa fakta ketika menjawab soalan.

Oleh itu, kita jangan jemu untuk terus membuat ulang kaji serta menyemak kertas peperiksaan tahun terdahulu. Langkah itu akan membiasakan kita dengan soalan-soalan yang biasa dikemukakan, di samping membolehkan ingatan kita kekal dan berpanjangan.

3.TENTUKAN KEUTAMAAN
Belajar pada saat-saat akhir juga perlu mengutamakan mata pelajaran atau kemahiran yang masih belum atau kurang dikuasi. Dalam hal ini, jangan sekali-kali belajar subjek yang kita sukai sahaja, sebaliknya merangkumi kesemuanya.

Ini kerana setiap peperiksaan akan membabitkan semua mata pelajaran dipelajari di sekolah, bukannya bedasarkan minat seseorang calon.

4.BANYAK MENGINGAT DAN MEMBUAT KAITAN
Mengingat atau menghafal adalah satu perkara penting yang mesti dilakukan calon dalam menghadapi peperiksaan. Pelbagai cara boleh kita gunakan untuk mengingat, antaranya belajar berulang kali mengenai satu kemahiran.

Apapun cara digunakan terpulang kepada kita, asalkan ia dapat membantu mengingat dan membuat kaitan apabila diperlukan.

5.MERANCANG PERSIAPAN PEPERIKSAAN
Ada tiga perkara yang mesti diamalkan calon bagi menentukan kejayaan cemerlang dalam peperiksaan.

Pertama : Sebelum peperiksan. Khususnya dalam tempoh beberapa minggu ini, kuatkan dan tingkatan usaha serta semangat dengan belajar berterusan.

Dalam pada masa itu, kesihatan diri jangan diabaikan. Walaupun bersemangat untuk menduduki peperiksaan, janganlah keterlaluan hingga lupa makan dan minum. Ini kerana keadaan itu boleh menyebabkan kita jatuh sakit.

Tidur hendaklah mencukupi supaya kita sentiasa selesa dan dapat memberikan tumpuan terhadap pelajaran sama ada ketika di kuliah mahupun ketika belajar di rumah sendiri. Sebaiknya tidurlah lebih awal pada malam peperiksaan. Langkah itu perlu supaya kita berasa segar dan dapat menghadapi kertas peperiksaan dengan tenang tanpa ada sebarang masalah.

Buat seketika, lupakan dulu perkara-perkara yang diminati, sebaliknya manfaatkan masa yang ada dengan mengulangkaji pelajaran. Ini kerana semua perkara itu boleh boleh dilakukan kemudian berbanding peperiksaan yang kata orang sekali seumur hidup. Jangan lepaskan peluang keemasan itu.

Begitu juga dengan pengambilan makanan, seharusnya ia seimbang. Dalam masa beberapa hari ini juga, kita seharusnya makan makanan yang berzat dan boleh membantu mengembangkan dan mencerdaskan minda kita.

Setelah segala persiapan diri sudah dilakukan, kita perlu pastikan keperluan peperiksaan yang lain tidak dilupakan, antaranya peralatan untuk menulis dan ‘karnih’ bagi kita penuntut university Al Azhar.

Kedua: Pada hari peperiksaan. Bangun dan pergi ke sekolah atau dewan peperiksaan lebih awal, bagaimanapun pastikan anda bersarapan terlebih dulu. Jika kita bangun lewat, bukan saja tidak sempat bersarapan, malah akan tergesa-gesa ke kuliah.

Ingat, perbuatan tergesa-gesa menjanjikan pelbagai masalah, antaranya membuatkan anda panik lalu tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian terhadap peperiksaan.

Ketika berada dalam dewan peperiksaan, kita hendaklah dalam keadaan tenang dan anggaplah peperiksaan itu sebagai perkara biasa. Untuk menenangkan diri jika menggelabah, tariklah nafas panjang-panjang. Langkah itu membantu jantung kita akan mendapat oksigen yang mencukupi, sekaligus menghilangkan rasa gugup dan bimbang.

Apabila menjawap soalan, jawablah soalan yang kita fikir mudah dulu. Jangan guna terlalu banyak masa untuk menjawab soalan yang sukar, sebaliknya terus selesaikan soalan lebih mudah. Soalan susah yang ditinggalkan sementara itu jangan diabaikan, tetapi dibuat kemudian.

Pembahagian masa yang betul amat perlu ketika menjawab soalan. Gunakan masa yang diperuntukkan dengan berkesan. Jangan sekali-kali alpa atau khayal sewaktu menjawab kerana langkah itu akan merugikan kita.

Ketiga: Selepas peperiksaan. Setelah menduduki sesuatu kertas peperiksaan, kita tidak digalakkan berbincang dulu dengan rakan atau sesiapa mengenainya. Ini perlu mengelakkan perasaan kecewa jika didapati jawapan anda terpesong atau salah.

Jika ini berlaku, anda mungkin hilang semangat atau fikiran terganggu ketika menjawab kertas soalan seterusnya. Sebaiknya, bincang kertas soalan itu setelah peperiksaan berakhir. Langkah terbaik, beri tumpuan penuh untuk menjawab soalan, bukannya menyemak jawapan.

6.ELAKKAN TERBABIT DENGAN SITUASI YANG BOLEH MENGGANGGU PERASAAN
Menjelang peperiksaan, pelbagai dugaan mungkin dihadapi. Oleh itu, kita seharusnya sentiasa bersedia menghadapi apa saja dugaan yang boleh mengganggu perasaan. Selepas menunaikan solat lima waktu, berdoalah supaya Allah SWT tenangkan perasaan dan dapat fokuskan tumpuan terhadap peperiksaan.

7.BERDOA DAN BERTAWAKAL
Sering kali kita was-was ataupun tidak yakin dengan apa yang dilakukan. Dalam hal peperiksaan, kita tidak seharusnya kurang yakin dengan kemampuan diri jika sudah membuat persiapan rapi sejak awal lagi. Sepatutnya kita berdoa dan tawakal kepada Allah SWT kerana usaha itu adalah senjata terakhir bukan saja untuk membina keyakinan diri, malah mencapai kejayaan.

Itulah diantara tip-tip yang boleh digunakan oleh pelajar-pelajar sebagai panduan persediaan dan persiapan untuk menghadapi peperiksaan tidak lama lagi. Diharap dengan panduan tip-tip di atas, pelajar-pelajar akan bekeyakinan dan membuat persiadaan yang cukup untuk menghadapi imtihan nanti. Bittaufiq wannajah.

Disediakan oleh:
AMALNORHAIZAH BTE ABD MALIK

No comments:

Post a Comment

Powered By Blogger