Al-Quran adalah kitab suci yang terakhir diturunkan sebagai pembimbing manusia ke jalan yang benar. Al-Quran juga merupakan kitab yang mu’jiz. Bahasanya tinggi, sasteranya indah, maknanya dalam, pengajarannya luas dan isi kandungannya meliputi segenap aspek kehidupan manusia. Dan yang lebih hebat lagi, ia boleh dihafaz oleh manusia dan jin yang mempunyai niat yang ikhlas untuk berbuat demikian.
Menghafaz Al-Quran bukan perkara baru. Sejak ia diturunkan ia telah pun dihafaz. Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wassalam merupakan orang pertama menghafaz Al-Quran. Dengan demikian Baginda Sallallahu 'Alaihi Wassalam digelar “Sayyidul Huffaz” (penghulu bagi penghafaz Al-Quran). Sahabat-sahabat semuanya menghafaz Al-Quran. Ada di antara mereka yang menghafaz seluruh A-Quran dan ada diantaranya yang menghafaz sebahagiannya saja. Bagi setiap orang Islam dikehendaki menghafaz Al-Quran sekurang-kurangnya cukup untuk dibaca di dalam solat.
Menghafaz bermaksud menjaga, mengulang dan menghayati. Proses menghafaz bermula dengan membaca, meneliti ayat-ayatnya dan kemudian mengulangnya sehingga lancar. Cara mudah untuk menghafaz Al-Quran agar ia melekat didada adalah dengan memahami terjemahannya dan sentiasa mengulang-ulang bacaan sehingga lidah kita terasa mudah dan lancar ketika menyebut setiap makhraj huruf ayat-ayat Al-Quran.
Menghafaz Al-Quran tidak seperti menghafaz seni kata lagu dan prinsip-prinsip matematik atau sains. Selain daripada sifatnya yang tidak sama itu, menghafaz Al-Quran adalah ibadat. Ia suatu amalan untuk mendekatkan diri dengan Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Dengan sebab itu ia mempunyai beberapa kelebihan. Sebagaimana firman Allah Subahanahu Wa Ta’ala di dalam Surah Al-Israa yang kira-kira bermaksud:
“Sesungguhnya Al-Quran ini menunjukkan ke jalan yang paling lurus dan memberi berita gembira kepada orang-orang mu’min yang mengerjakan amal solih, bahawa bagi mereka ganjaran yang paling besar.” – surah Al-Israa, ayat 9.
Di bawah ini dikongsikan bersama sedikit panduan menghafaz Al-Quran.
A) Adab-adab sebelum membaca atau menghafaz Al-Quran.
1) Bersuci dan berwudhu’.
2) Memakai pakaian yang bersih.
3) Berada di tempat yang bersih dan sunyi.
4) Menghadap Qiblat.
5) Ikhlaskan niat.
B) Teknik menghafaz Al-Quran.
1) Membaca ayat-ayat berkenaan dengan sebutan yang betul dan lambat-lambat (tartil). Jika ayat itu panjang, ambil sebahagiannya saja.
2) Baca dan ulang-ulangkan beberapa kali hingga lancar.
3) Setelah lancar, baca ayat berkenaan dengan lebih cepat (tadwir).
4) Ulang-ulang kan beberapa kali dengan bacaan tadwir hingga betul-betul lancar.
5) Baca dan cuba mengingat ayat-ayat berkenaan, iaitu baca tanpa melihat Mushaf. Jika tersangkut atau tidak lancar baru lihat Mushaf. Dan kemudian teruskan hafalan tanpa melihat Mushaf.
6) Setelah dapat mengingat atau membaca dengan lancar tanpa melihat Mushaf, baca ayat lain iaitu ayat sambungannya, dan lakukan seperti langkah 1, 2, 3, 4 dan 5.
7) Setelah dapat mengingat ayat yang kedua ini, mula balik membaca dari awal ayat pertama hingga akhir ayat kedua tanpa melihat Mushaf, melainkan jika tersangkut bacaan.
8) Ulangkan baca beberapa kali dengan bacaan tadwir supaya lancar.
9) Apabila mendirikan solat, baca ayat-ayat yang telah dihafal itu di dalam solat.
10) Amalkan membaca Al-Quran setiap hari supaya tidak lupa.
Sekian sahaja yang saya dapat kongsikan bersama panduan menghafaz Al-Quran. Dan mudah-mudahan kitani tergolong di dalam golongan generasi Al-Quran Insya Allah.
Disediakan oleh:
MOHAMMAD AZIM BIN AWG HJ ALI
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment