Saturday, May 15, 2010

Hindari Sifat Marah.

Agama Islam menuntut umatnya agar menghiasi peribadi dengan akhlak yang mulia seperti bersifat sabar, lemah lembut, tidak mudah marah dan sebagainya. Agama Islam juga menegah kita daripada memiliki akhlak yang buruk seperti takabbur, riya’, hasad dengki, bakhil dan pemarah.

Kita dikehendaki untuk mempunyai sifat sabar dan sentiasa memaafkan kesalahan orang terhadap kita. Hindarkanlah diri kita dari suka marah kerana marah itu adalah sifat yang sangat buruk dan dicela. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam berpesan dalam hadis Baginda yang maksudnya:

Daripada Abu Hurairah Radiallahu Anhu, sesungguhnya seorang lelaki telah berkata kepada Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam: “Berpesanlah kepadaku. Nabi bersabda: Janganlah marah! Kemudian orang tadi mengulang lagi, lalu Baginda menjawab: Jangan marah!” (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari)

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam juga ada menyebutkan tentang kelebihan orang-orang yang dapat menahan kemarahannya dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Al-Imam Al-Bukhari maksudnya: “Bukanlah orang yang kuat itu dinilai dengan kekuatan dalam pergelutan, sesungguhnya orang yang kuat ialah orang yang dapat menguasai dirinya ketika marah.”

Wahab bin Munabbih ada menceritakan mengenai syaitan yang mahu menyesatkan seorang ahli ibadat Bani Israil, akan tetapi syaitan itu tidak berjaya. Pada satu hari ahli ibadat itu keluar dari rumahnya kerana sesuatu keperluan. Lalu syaitan pun keluar bersamanya agar dia dapat peluang untuk menyesatkannya. Syaitan berusaha menyesatkannya dalam bentuk godaan syahwat dengan cara membuatnya marah tetapi tidak berjaya lalu dia mencuba lagi dengan cara menakut-nakutkannya iaitu dengan mengugurkan batu dari bukit.

Apabila batu itu hampir mengenai ahli ibadat itu, dia pun berzikir mengingati Allah, lalu batu pun menyingkir daripadanya. Kemudian syaitan menjelma menjadi singa lalu ahli ibadat itu berzikir mengingati Allah dan dia tidak takut kepada binatang buas itu. Kemudian syaitan menjelma pula menjadi ular ketika ahli ibadat itu sedang sembahyang. Ular itu menjilat kaki dan badannya sehingga kepalanya. Apabila ahli ibadat itu hendak sujud, ular itu berlingkar di mukanya dan apabila dia hendak meletakkan kepalanya untuk sujud, ular itu membuka mulutnya untuk menelan kepalanya. Lalu ahli ibadat itu pun miring ke tempat lain untuk membolehkannya sujud.

Apabila ahli ibadat itu selesai sembahyang dan beredar dari tempatnya, maka syaitan menemuinya dan berkata: “Aku telah melakukan itu dan ini tapi aku tidak berjaya memperdayakanmu, maka mulai sekarang aku mahu menjadi sahabatmu dan aku tidak akan menyesatkanmu.”

Maka ahli ibadat pun menjawab: “Sebagaimana aku tidak mahu bersahabat denganmu semasa engkau menakut-nakutkan aku, begitu jugalah hari ini aku tidak ingin bersahabat denganmu.”

Lalu syaitan pun berkata: “Tidakkah engkau mahu bertanya kepadaku tentang keadaan ahli keluargamu sesudahmu?”

Ahli ibadat menjawab: “Aku telah mati sebelum mereka.”

Kemudian syaitan berkata: “Tidakkah engkau mahu bertanya kepadaku tentang bagaimana cara aku menyesatkan anak-anak Adam?”

Ahli ibadat menjawab: “Ya, khabarkanlah tentang cara bagaimana engkau menyesatkan anak-anak Adam.”

Syaitan berkata: “Dengan tiga perkara: Bakhil, marah dan mabuk.”

>Sesungguhnya seseorang manusia itu jika bakhil, aku sedikitkan hartanya pada pandangan matanya, maka dengan cara ini akan menahannya dari mengeluarkan hak-hak yang wajib dikeluarkannya dan menjadikannya suka kepada harta orang lain.

> Jika seseorang itu marah, kami akan memutar-mutarkannya di antara sesama kami sebagaimana seorang kanak-kanak memutar-mutarkan bola di antara sesama mereka. Meskipun orang itu boleh menghidupkan orang mati dengan doanya nescaya kami tidak akan berputus asa daripada menggodanya.

> Jika dia mabuk kami akan memimpinnya kepada semua kejahatan sepertimana dipimpin seekor kambing melalui telinganya menurut sesuka hati kami.

Dalam sebuah kisah yang lain, iblis telah menjumpai Nabi Musa 'Alaihissalam lalu dia berkata: “Engkau telah dipilih untuk menyampaikan risalah Tuhanmu dan dia telah bercakap-cakap denganmu, sesungguhnya aku adalah salah satu daripada makhluknya, aku mahu bertaubat kepada Tuhanmu, maka engkau mohonlah kepadanya supaya dia mengampunkanku.”

Nabi Musa pun gembira apabila mendengar permintaan iblis itu lalu dia pun meminta air kemudian berwuduk dan seterusnya bersolat. Kemudian dia berkata: “Sesungguhnya iblis salah satu daripada makhlukmu memohon keampunan daripadamu, maka ampunkanlah dia.”

Lalu Allah berfirman kepada Nabi Musa: “Wahai Musa sesungguhnya dia tidak bertaubat.”
Kemudian Nabi Musa berkata: “Wahai Tuhanku memang benar dia mahu bertaubat.”
Maka Allah pun menurunkan wahyu kepada Nabi Musa: “Sesungguhnya Aku mendengar permohonanmu wahai Musa, suruhlah dia (iblis) bersujud di kubur Nabi Adam nescaya Aku akan mengampunkannya.”

Maka Nabi Musa pun balik dengan gembira dan memberitahu kepada iblis perkara itu. Iblis menjadi marah dan sombong lalu berkata: “Aku tidak sekali-kali sujud kepadanya semasa dia hidup, adakah patut aku sujud sesudah dia mati! Wahai Musa sesungguhnya engkau mempunyai hak ke atasku dengan pertolongan yang engkau berikan kepadaku, maka aku wasiatkan kepadamu dengan tiga perkara:

>Ingatlah aku ketika engkau marah, sesungguhnya aku berada di dalam hatimu mengikut mengalirnya darah di pembuluh darah.

>Dan ingatlah aku ketika menemui musuh di dalam pertempuran, sesungguhnya aku ketika seseorang itu menemui musuh, aku akan mengingatkannya kepada isteri, keluarga, harta dan anaknya sehingga dia berpatah balik dari pertempuran.

>Dan ingatlah aku ketika mendampingi perempuan yang bukan muhrim kerana sesungguhnya aku adalah utusannya kepadamu dan utusanmu kepadanya.

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ada mengajarkan bagaimana cara mengubati penyakit marah itu. Di antaranya ialah dengan membaca:

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم
Dan sunat juga dibaca doa ini ketika marah yang maksudnya: Wahai Tuhanku, Tuhan Nabi Muhammad, ampunilah dosaku, hilangkanlah kemarahan hatiku dan lepaskanlah aku dari fitnah-fitnah yang menyesatkan.

Jika kemarahan itu tidak hilang dengan membaca doa tersebut, maka hendaklah seseorang itu duduk jika dia marah dalam keadaan berdiri dan hendaklah dia berbaring jika dia marah dalam keadaan sedang duduk dan dekatkanlah diri dengan bumi yang mana dari bumi itulah dia dijadikan dan agar dia tahu akan kehinaan dirinya.

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda dalam sebuah hadis maksudnya: “Ingatlah sesungguhnya marah itu adalah bara api di dalam hati anak Adam. Tidakkah engkau melihat kepada kedua matanya yang merah dan urat-urat lehernya yang membengkak? Apabila salah seorang kamu mengalami yang demikian, maka hendaklah dia mendekatkan dirinya ke bumi.” (Riwayat Al-Imam At-Termidzi)

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam menganjurkan kepada umatnya supaya jangan suka marah sebab marah itu tidak akan mendatangkan apa-apa kebaikan, malah ia akan menyebabkan berbagai-bagai bencana terutama sekali bila perasaan marah itu diletakkan bukan pada tempatnya. Walau bagaimanapun agama Islam membolehkan marah dalam keadaan tertentu seperti kerana mencegah berlakunya kemungkaran.

Perlulah kita sedar bahawa orang yang suka marah itu sering ditunggangi oleh syaitan yang memaksakan kehendaknya ke atas orang yang marah itu. Manakala orang yang menurut kehendak syaitan itu tidak akan selamat di dunia dan di akhirat. Oleh yang demikian, sama-samalah kita berdoa semoga kita semua terhindar dari suka marah dan semoga kita semua menjadi orang yang sabar dalam apa jua keadaan. Amin Ya Rabbal 'Alamin.

Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala dalam surah Al-Baqarah ayat 153 tafsirnya:

“Wahai orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan kepada Allah dengan bersabar dan mengerjakan solat kerana sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar.”

Disediakan oleh:
SITI NADZIRAH BINTI HJ AJI

1 comment:

  1. Nicely written. :) I'll try to kawal marah after this. Lagipun, rupanya Nabi ada berwasiat supaya jangan marah. Doakan saja k. Perubahan adalah sebuah perjalanan yang panjang. Berubah memang susah, tetapi tidak mustahil untuk berubah :) tengkiyu

    ReplyDelete

Powered By Blogger