Friday, March 26, 2010

Hidup Mesti Bermatlamat.

Apakah matlamat hidup kita sebagai seorang muslim? Kita sering lalai dan tidak menyedari apa matlamat hidup kita yang sebenar yang bergelar sebagai seorang muslim.

Melaksanakan ibadah kerana Allah adalah antara perkara penting yang perlu diambil berat dalam menjalankan kehidupan kita seharian. Ibadah dsini bererti ibadah yang meliputi semua aspek kehidupan. Pastinya semua orang mempunyai matlamat hidup dalam meneruskan kehidupan di muka bumi yang fana ini.

“ Sesungguhnya solatku,ibadahku,kehidupanku dan kematianku adalah kerana Allah SWT,Tuhan sekalian alam.” (Al-An’am : 162)

Ayat ini menjelaskan bahawa kehidupan dan kematian kita dikhususkan hanya kerana Allah.

Di dalam Al-Quran juga ada menyebutkan tentang tumpuan hidup golongan manusia dan matlamat mereka hanyalah:
- Makan dan berseronok
- Hiasan dan kesenangan hidup
- Mewujudkan huru-hara,membuat kerosakan dan mencetuskan suasana yang tidak selamat dan tidak aman.

Adakah kita memiliki atau tergolong dalam salah satu ataupun kesemuanya? Allah menciptakan manusia adalah sebaik-baik ciptaan dan kita harus menyedari tentang hakikat penciptaan ini.

Firman Allah: "وما خلقت الجن والانس الا ليعبدون"
Yang kira-kira bermaksud: Allah tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepadaku.

Setiap individu itu mempunyai erti sebuah kehidupan mereka tersendiri yang harus ada matlamat hidup. Matlamat ini haruslah jelas dan spesifik. Jika matlamat ini kabur bagaimana kita hendak meneruskan perjalanan hidup yang lebih bermakna. Adakah kita mahu hidup dalam keadaan yang sia-sia tanpa matlamat untuk dicapai?

Manusia sentiasa mengatakan tentang matlamat untuk hidup gembira,mahukan kesihatan yang baik, mahu memperolehi duit yang banyak,ingin membina rumahtangga bahagia,inginkan untuk berjaya dan lain-lain matlamat.Mereka telah awal mengambarkan dan membayangkan bagaimana kehidupan yang mereka inginkan dan apa yang mereka hendak lakukan atau miliki.

“Pada suatu hari nanti” kepada “Hari ini” adalah perkataan yang harus ada di dalam hati dan sentiasa
terngiang-ngiang di telinga. Matlamat dan visi mestilah dicapai dengan segala aspek dan usaha yang
lebih untuk menjadikanya realiti.

Visi dan matlamat dalam kehidupan kita mempunyai kaitan yang rapat. Visi dan matlamat ini berkongsi dalam mendefinasikan apa yang manusia kehendaki dan apa yang mereka gambarkan dalam fikiran mereka.

Contoh:
VISI: Ingin berniaga di sebuah kedai.
MATLAMAT: Beroleh keuntungan yang besar dalam masa tiga tahun.

Langkah-langkah dan cara strategi perlulah diatur dan dibina untuk memperolehi kesan kejayaan.

Di antaranya ialah:-

- Mewujudkan keinginan yang mendalam
- Menuliskan matlamat itu
- Menetapkan tempoh dan bila akan mencapainya
- Membuat perancangan yang bijak
- Menggambarkan kejayaan dalam fikiran
- Menangani segala rintangan dan halangan
- Baki 90% adalah usaha dan keazaman

Ciri-ciri orang yang tiada matlamat adalah malas,tidak ada minat,asyik keborengan,ragu-ragu dengan apa yang dihadapi. Akan tetapi setiap orang yang bermatlamat akan yakin dengan apa yang akan diperolehinya nanti, tidak pada hari ini mungkin esok.

Semangat yang sentiasa inginkan kejayaan hingga ke penghujungnya tanpa ada keraguan adalah diperlukan. Jika kita sudah menetapkan matlamat untuk dilaksanakan,janganlah lagi kita berhenti di tengah jalan dan berpaling untuk meneruskan perjuangan. Kebaikan dan keburukanya harus diteliti dan setiap matlamat pastinya berisiko. Kita haruslah menghadapi ketakutan itu dengan mengharunginya. Janganlah jadikan usaha kita selama ini suatu perkara yang sia-sia.

Hiduplah dengan bermatlamatkan menuju ke arah kejayaan dalam hidup.

Disediakan oleh: RABIZAH HJ DAIM

Wednesday, March 24, 2010

Solat Musafir.

Solat Qasr dan Jama’ merupakan suatu kemudahan dan keringanan yang diberikan oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala kepada hambaNya yang dalam keadaan musafir. Musafir yang dimaksudkan ialah orang yang di dalam perjalanan jauh tidak kurang dari dua marhalah bersamaan dengan 89 atau 90 kilometer dan perjalanannya itu bukan kerana maksiat. Solat fardhu boleh dilaksanakan secara Qasr atau Jama’ atau keduanya sekali (Qasr dan Jama’). Mengerjakan solat secara Qasr dan Jama’ bukanlah suatu kewajipan bagi seorang musafir bagaimanapun ianya lebih afdhal dilakukan daripada menyempurnakan rakaat solatnya.

Solat Qasr adalah memendekkan solat fardhu empat rakaat menjadi dua rakaat iaitu solat Zohor, Asar dan Isya. Solat Qasr tidak harus dilakukan melainkan apabila telah keluar dari kampung tempat bermuqim.

Solat Jama’ ialah menghimpunkan dua solat fardhu yang berbeza dan ditunaikan di dalam satu waktu iaitu solat Zohor dan Asar, atau solat Maghrib dan Isya. Ini bererti solat Subuh tidak boleh dikerjakan secara Qasr atau Jama’, manakala solat Maghrib hanya boleh jama’ tetapi tidak boleh qasr. Solat Jama’ boleh dilakukan dengan dua cara iaitu Jama’ Taqdim atau Jama’ Ta’khir.

Jama’ Taqdim ialah menghimpunkan solat Zohor dan Asar dikerjakan dalam waktu Zohor iaitu dengan menunaikan solat Zohor terlebih dahulu atau menghimpunkan solat Maghrib dan Isya dikerjakan dalam waktu Maghrib iaitu dengan menunaikan solat Maghrib terlebih dahulu.

Wajib mendahulukan solat Zohor dari solat Asar atau mendahulukan solat Maghrib dari solat Isya’ di dalam solat Jama’ Taqdim dan hendaklah tidak ada penghalang di antara dua solat yang dikerjakan seperti bercakap atau melakukan solat sunat kerana mualah (berturut-turut) menjadi syarat bagi solat Jama’ Taqdim. Wajib berniat jama’ di dalam solat yang pertama iaitu pada waktu Zohor dan Maghrib semasa takbiratul ihram atau di tengah-tengah solat selagi belum berakhirnya solat tersebut.

Solat Jama’ Ta’khir ialah menghimpunkan solat Zohor dan Asar dan dikerjakan di dalam waktu Asar atau menghimpunkan solat Maghrib dan Isya’ dan dikerjakan di dalam waktu Isya’.

Berniat mengakhirkan solat Zohor ke dalam waktu Asar atau solat Maghrib ke dalam waktu Isya’ hendaklah dilakukan di dalam waktu solat yang pertama, iaitu pada waktu Zohor atau Maghrib. Tertib di antara dua solat dan berterusan di antara keduanya tidak diwajibkan di dalam solat Jama’ Ta’khir.

Musafir juga diberi kemudahan untuk menggabungkan solat Qasr dan Jama’, sama ada Jama’ Taqdim atau Jama’ Ta’khir iaitu memendekkan solat fardhu empat rakaat menjadi dua rakaat dan pada masa yang sama boleh menghimpunkan solat Zohor dan Asar atau solat Maghrib dan Isya’.

Seorang musafir masih dibolehkan melakukan solat Qasr dan Jama’ walaupun sudah sampai ke destinasi yang dituju selagi dia bermuqim tidak lebih dari tiga hari, tidak termasuk hari pergi dan balik. Apabila dia bermuqim empat hari atau lebih hendaklah dia melakukan solat secara sempurna rakaatnya kerana telah hilang rukhsah solat musafir. Tetapi ada sebahagian ulama berpendapat bahawa solat Qasr boleh dilakukan oleh orang yang bermusafir tanpa menghadkan masa atau hari selagimana dia tidak beniat iqamah (menetap) di tempat yang dituju,dan ini adalah pandangan yang lebih rajih.

Solat Qasr dan Jama’ boleh dilakukan secara berseorangan atau berjemaah. Musafir yang mengerjakan solat Qasr boleh menjadi imam kepada jemaah yang musafir yang mengerjakan solat secara Qasr dan jemaah yang bermuqim yang tidak mengerjakan solat secara Qasr. Jemaah yang bermuqim tersebut hendaklah menyempurnakan solatnya setelah imam memberi salam. Sunat bagi imam tersebut mengatakan “sempurnakanlah solat kamu, sesungguhnya kami adalah musafir” setelah selesai memberi salam. Bagaimanapun seorang musafir yang mengerjakan solat secara Qasr tidak boleh menjadi makmum kepada imam yang tamam rakaat solatnya. Jika seorang musafir sempat mengikut satu rakaat atau lebih dari solat imam yang bermuqim (masbuk), hendaklah musafir itu menyempurnakan rakaat solatnya dan tidak boleh Qasr.

Diungkapkan beberapa masalah yang berhubungkait dengan perkara yang dibincangkan ini seperti berikut:

1. Seorang musafir tertinggal solatnya semasa di dalam perjalanan dan mengqadhanya setelah selesai dari perjalananya, adakah dia mengqadha secara qasr atau menyempurnakan rakaat solatnya? Dalam Kitab Majmu’ Syarah Muhazzab, terdapat dua pendapat bagi Imam Syafi’e dan yang paling sohih sebagaimana yang terdapat dalam Kitab Al-Um adalah wajib baginya untuk menyempurnakan rakaat solatnya. Perkara tersebut adalah disebabkan keringanan yang diberikan dalam solat Qasr dan Jama’ itu berkaitan dengan adanya keuzuran untuk mengerjakan solat secara tamam rakaatnya kerana musafir. Keringanan itu akan hilang dengan hilangnya keuzuran tersebut, iaitu apabila dia telah bermuqim.

2. Adakah seorang musafir boleh mengqadha solat semasa masih di dalam perjalanan dan bagaimanakah cara mengqadhanya? Mengqadha solat semasa dia masih di dalam perjalanannya mempunyai dua pendapat, pendapat yang paling sohih adalah dia dibolehkan mengqadha secara qasr kerana keuzuran itu masih kekal selagi dia masih musafir.

3. Adakah rukhsah solat musafir ini boleh dimanfaatkan oleh musafir yang ingin mengqadha solat yang tertinggal semasa dia bermuqim di dalam waktu musafir? Jawapannya tidak ada baginya rukhsah solat musafir iaitu qasr kerana mengqadha solat secara tamam rakaatnya masih kekal di dalam tanggungannya. Wallahu a’lam.


Rujukan:
• Kitab Majmu’ Syarah Muhazzab.
• Kitab Mughni Al-Muhtaj
• Sembahyang Qashar Dan Jama’, terbitan Pusat Da’wah Islamiah.

Disediakan oleh: Syakiratur-Rasyidah bte Hj Ismat.

Thursday, March 18, 2010

Sebab Pulut Santan Binasa.

Kita sudah tidak asing lagi dengan peribahasa “Sebab pulut santan binasa, sebab mulut badan binasa.” Peribahasa ini membawa maksud “Kecelakaan yang timbul akibat terlepas cakap.” Walaupun kita sudah tahu bahaya tersalah cakap, namun ada di antara kita yang masih lagi kurang mengambil perhatian dengan tuntutan memelihara lidah.

Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman di dalam surah al-Ahzab ayat 70-71 yang bermaksud:
“Hai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar, niscaya Allah memperbaiki bagimu amalan-amalanmu dan mengampuni bagimu dosa-dosamu. Dan barangsiapa menta’ati Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya dia telah mendapat kemenangan yang besar.”

Sabda Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam yang bermaksud:
“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia berkata yang baik atau diam.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dengan melihat kepada ayat al-Qur’aan dan hadith Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, maka jelaslah kepada kita bahawa sesungguhnya agama Islam mengajak umatnya untuk memelihara lisan. Berkata sesuatu yang sia-sia, berlebihan di dalam bergurau senda, mengadu domba, berbohong, membongkar rahsia, mencaci, menghina, mengumpat, menyindir dan sebagainya boleh berlaku akibat tidak mengawal lisan dan semua perkara ini boleh menyebabkan pertengkaran sekaligus menghancurkan keharmonian berkeluarga atau bermasyarakat.

Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala di dalam surah al-Hujurat ayat 12 yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat lagi Maha Penyayang.”

Sabda Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam yang bermaksud:
"Sesungguhnya sebahagian besar dari kesalahan anak Adam itu terletak pada lisannya." (Riwayat at-Tabrani)

Lidah adalah anggota badan yang kecil namun ianya mempunyai peranan yang besar. Sesungguhnya Allah mengurniakan lisan untuk berkata perkara yang hak, baik serta zikrullah. Oleh yang demikian, marilah kita sama-sama memelihara lisan kita dari berkata sesuatu yang sia-sia. Ingatlah, peribahasa ada menyatakan; “Terlajak perahu masih boleh diundur lagi, terlajak kata buruk padahnya.”

Disediakan Oleh: Norsalwana Hj Ibrahim.

Wednesday, March 10, 2010

Sikap Berputus Asa.

Islam melarang kita untuk berputus asa. Jika kamu ditimpa satu musibah atau kegagalan janganlah kamu berputus asa. Semua kejadian yang berlaku kepada kita semuanya adalah ketentuan dan ujian ilahi. Maka janganlah kamu berputus asa di atas ketentuanNya. Dalam firman Allah: Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah, melainkan kaum yang kafir" (Surah Yusuf: 87)

Hidup di dunia penuh dengan dugaan dan cubaan. Orang yang beriman perlu melihat kegagalan dan musibah itu dari sudut positif. Hendaklah bersangka baik, bersyukur dan menerima takdir itu dengan lapang dada dan penuh rasa taqwa. Apa lah gunanya berputus asa, walhal berputus asa itu tidak dapat mengubah ke arah yang lebih baik. Sebaliknya akan memburukkan lagi keadaan. Orang yang mudah berputus asa tidak akan mencapai kejayaan hidup. Yakinlah bahawa pertolongan Allah itu sangat dekat.

Allah Ta'ala berfirman: “Jika Allah menolong kamu, maka tak adalah orang yang dapat mengalahkan kamu; jika Allah membiarkan kamu (tidak memberi pertolongan), maka siapakah yang dapat menolong kamu (selain) dari Allah sesudah itu? Karena itu hendaklah kepada Allah saja orang-orang mu’min bertawakkal. (Surah ‘Ali Imran: 160)

Firman Allah Ta’ala lagi: "Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahawasannya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdo'a apabila ia memohon kepadaKu." (Surah Al-Baqarah: 186)

Sesungguhnya Allah sekali-kali tidak menzalimi hambaNya. Setiap apa yang dijadikanNya itu pasti ada sebabnya. Ujian diberikan Allah adalah tanda Allah menginginkan kebaikan terhadap hambaNya. Sabda Rasulullah Salllahu ‘Alaihi Wasallam, “Sesungguhnya besar ganjaran seseorang berdasarkan besarnya ujian. Sesungguhnya Allah apabila mengasihi sesuatu kaum, mereka akan diuji dengan ujian. Barangsiapa yang redha, maka baginya keredhaan Allah dan barangsiapa yang tidak bersabar, Allah tidak akan bersabar terhadap mereka” – (Hadis riwayat At Tirmizi dan Ibnu Majah)

Semua yang terjadi kepada kita telah di tentukan Allah. Akan tetapi, ia tidak menghalang kita daripada berusaha dan berdoa. Hanya Allah yang tahu di sebalik qada dan qadar. Sebagai seorang mu’min jangalah kamu berputus asa.Tetaplah bersama Allah dengan memperbanyakkan doa dan usaha.

Allah Subhanahu Wa Ta'ala berfirman: "Dan Tuhanmu berfirman: Berdo'alah kepada-Ku, pasti Ku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari beribadah kepadaKu akan masuk neraka jahannam dalam keadaan hina dina." (Surah Al-Mukmin: 60)

Kegagalan sepatutnya akan menjadikan seseorang itu lebih tekun dan gigih berusaha sehingga mencapai kejayaan. Setiap individu itu pasti ada mengalami kegagalan .Untuk mengelak daripada rasa kecewa dan berputus asa, sentiasalah kita ingat setiap ujian itu adalah menuntut kita untuk menjadi lebih baik. Sentiasa berdoa dan memohon kepada Allah agar di beri kemudahan. Bersabar dan bersikap positif, setiap kegagalan itu ada hikmah di sebaliknya. Sekiranya doa yang kita mohon masih belum dimakbulkan, sentiasa bersangka baik kepada Allah, terus berdoa dan menghampirkan diri kepadaNya kerana Allah lebih tahu apa yang lebih baik untuk hambanya.
Wallahu a’lam.


Disediakan oleh : Dk Norhidayati Binti Pg Hj Othman.

Wednesday, March 3, 2010

Kenali wanita dan Kemuliaannya.

Maha rahmat Allah yang tidak menjadikan Adam sendirian tanpa berteman.Maka dijadikan Hawa dari rusuk kirinya.Firman Allah (ومن ءاياته ان خلق لكم من انفسكم ازواجا لتسكنوا اليها وجعل بينكم مودة ورحمة ان فى ذلك لايت لقوم يتفكرون) yang bermaksud:Dan di antara tanda-tanda kekuasanNya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya.dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih sayang.Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.(surah Ar-Rum,ayat 21).

Wanita merupakan salah satu makhluk Allah yang mulia serta mempunyai kedudukan yang sangat agung dalam Islam.Mereka tidak pernah diabaikan kecuali di zaman jahiliah iaitu zaman kebodohan orang-orang terdahulu dimana mereka menganggap wanita seperti barang yang boleh diperlakukan sesuka hati.Pada waktu itu juga wanita tidak diberikan hak-hak mereka dan tidak ada rasa hormat terhadap mereka bahkan bangsa arab tidak suka jika dikhabarkan tentang kelahiran anak perempuan dan tanpa segan-silu membunuh mereka yang masih lagi bayi itu.Akan tetapi,sejak kedatangan Islam,keadaan ini telah berubah dimana Allah telah mengangkat martabat wanita dengan memberikan hak-hak yang telah ditetapkan untuk mereka selagimana mereka menjaga kehormatannya,tetap berada di dalam batas hukum-hukum Allah serta selari dengan sifat kewanitaannya kerana wanita tetap wanita.Betapa Islam memuliakan dan mengutamakan kedudukan wanita kerana Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam pernah ditanya tentang siapakah yang harus dibuat baik di antara kedua ibubapa,Baginda mengulang tiga kali “ibu”.Jadi kesimpulannya tanggungjwab dan kewajipan wanita menurut Islam adalah sebagai bukti kewujudannya diiktiraf dan dihargai.Wanita mempunyai tanggungjawab yang besar bukan sahaja tanggungjwab sebagai hamba terhadap Allah,juga sebagai pemimpin/pengurus rumahtangga bahkan pembentuk generasi masa hadapan.

Menjadi wanita sahaja belum lagi lengkap tetapi hendaklah menjadi wanita muslimah yang solihah.Ini kerana banyak wanita muslimah yang tidak solihah.Allah subhanahu wataala sangat memuji wanita muslimah,mu’minah yang sabar dan khusyuk.Firman Allah subhanahu wataala yang bermaksud:”Maka wanita yang saleh,ialah ta’at kepada Allah lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada,oleh kerana Allah telah memelihara (mereka).”(surah An-Nisa,ayat 34)

Wanita muslimah yang solihah adalah idaman setiap orang.Adapun beberapa ciri-ciri wanita solihah yang harus kita ketahui dan sebagai penilaian dan panduan kita bersama:
1) beriman dengan Allah dan Rasulnya serta Islam pedomannya.
2) menjaga solat lima waktu serta wudhunya dan mendirikannya pada waktunya.
3) menjaga hijabnya dengan rasa senang hati,Firman Allah Subhanahu Wataala yang bermaksud,”Hai Nabi katakanlah kepada isteri-isterimu,anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mu’min:”Hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka”.Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal.karena itu mereka tidak diganggu.Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.(surah Al-Ahzab,ayat 59)
4) mentaati suaminya,tidak bercakap kasar,menjaga kesejahteraannya dan sebagainya. 5)mendidik anak-anaknya dengan ajaran Islam dan mentaati Allah Subhanahu Wataala. 6)tidak berkhalwat dengan lelaki yang bukan mahramnya.
7)selalu menjaga hatinya daripada syubhat,syahwat dan sebagainya.Selain daripada ciri-ciri di atas,banyak lagi yang kita boleh dapatkan dengan merujuk Al-Quran dan As-sunnah serta kitab-kitab agama yang shumul dan begitu luas.

Semoga kita tergolong daripada wanita muslimah yang bukan sahaja Islam pada nama akan tetapi dari diri lahiriah kita sendiri dengan berlandaskan Al-quran dan As-sunnah.Ameen ya Rabb.

Penulis: Nooraaslizza bte Hussin.

Assalamu'alaikum.

“Mahukah aku tunjukkan kepada kamu sesuatu yang jika kamu lakukan nescaya kamu akan saling mencintai?”

Apakah jawapan bagi soalan diatas? Mungkin ada yang mengetahui dan biasa mengamalkannya dan mungkin juga tidak. Ia sesuatu yang nampak kecil tetapi ganjarannya adalah besar. Ia sesuatu yang mudah tetapi mungkin ramai yang tidak mengamalkannya. Ia sesuatu yang diucap dengan senyuman. Dalam hadith sahih riwayat Muslim, dari Abu Hurairah Radhiyallahu 'Anhu berkata: Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda: “Tidaklah kamu akan memasuki syurga sehinggalah kamu beriman dan tidaklah kamu beriman sehinggalah kamu saling mencintai. Mahukah aku tunjukkan kepada kamu sesuatu yang jika kamu lakukan nescaya kamu akan saling mencintai? Sebarkanlah salam di antara kamu.” (HR Muslim). Ia adalah ucapan “Assalamu’alaikum!”

Dalam Al-Quran Allah berfirman (maksudnya) “Apabila kamu dihormati dengan suatu penghormatan, maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik atau balaslah (dengan yang serupa) “ ( Surah An Nisaa, ayat 86) Penghormatan dalam Islam ialah dengan mengucapkan “Assalamu’alaikum”.
Mengucapakan salam kepada sesama muslim adalah sesuatu yang dituntut. Ia menunjukan kita sesama Islam adalah bersaudara samada kita mengenalinya atau tidak. Tetapi sebilangan kita kadang-kadang berasa kaku untuk memulakan salam kepada saudara Islam kita yang tidak kita kenali. Mungkin ada sebahagian kita yang akan mengatakan sebegini “Apa faedah jika saya beri salam kepadanya,sedangkan saya tidak mengenalinya?”.

Persoalan pertama, apa faedahnya? atau apa ganjarannya? Dalam sebuah hadith, dari Abi Yusuf Abdullah bin Salam (r.a) berkata: Aku mendengar Rasulullah Sallallhu 'Alaihi Wasallam bersabda: “ Sebarkanlah salam, berilah makan, sambunglah silraturahim, dirikanlah solat pada waktu malam ketika orang-orang sedang tidur (Qiamulail), nescaya kamu akan masuk syurga dengan selamat.” .(HR al-Tirmizi, beliau berkata: hadith hasan sahih). Maka sudah jelas bahawa antara ganjaran kepada orang yang menyebarkan salam adalah syurga Allah SWT.

Persoalan kedua, perlukah mengucapkan salam kepada orang Islam yang tidak kita kenali? Dari ‘Amr bin al-As (r.a) sesungguhnya seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah s.a.w: Islam bagaimanakah yang paling baik? Rasulullah s.a.w. menjawab: “Memberi makan dan mengucapkan salam kepada orang yang dikenalinya dan orang yang tidak dikenalinya.” (HR Bukhari dan Muslim)

Hukum mengucapkan salam adalah sunat dan hukum menjawab salam pula adalah wajib. Kaifiat atau lafaz ucapan salam yang paling ringkas ialah “Assalamu’alaikum” dan dijawab dengan “Wa’alaikumsalam”, bukan dengan lafaz-lafaz yang disebut dengan sambil lewa seperti samekom, saimaikum,asamikum atau dengan lafaz guraun seperti ayambeikong. Ini kerana mengucapkan salam itu adalah doa, bukan lafaz yang diperolok-olokkan. Lafaz terbaik dalam mengucapkan salam ialah “Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh”

Seorang lelaki pernah menghampiri Rasulullah s.a.w. dan mengucapkan “Assalamu’alaikum.” Lalu baginda menjawab salamnya kemudian duduk, Rasulullah berkata: “Sepuluh (kebaikan).” Kemudian datang pula orang lain mengucapkan: “Assalamu’alaikum warahmatullah.” Lalu baginda menjawab salamnya kemudian duduk, Rasulullah berkata: “Dua puluh (kebaikan).” Kemudian datang pula orang lain dengan mengucapkan: “Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.” Lalu baginda menjawab salamnya kemudian duduk, Rasulullah berkata: “Tiga puluh (kebaikan).” (HR Abu Daud dan Tirmizi,beliau berkata: hadith hasan)

Timbul satu persoalan lain dalam mengucapkan salam, siapakah yang seharusnya mendahului dengan ucapan salam? Dari Abu Hurairah (r.a) Rasulullah s.a.w. juga bersabda: “Orang yang berkenderaan hendaklah memberi salam kepada orang yang berjalan, seorang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk dan kumpulan yang kecil hendaklah memberi salam kepada kumpulan yang lebih besar jumlahnya.” (HR Bukhari dan Muslim) dan dalam riwayat Bukhari: “dan kanak-kanak hendaklah memberi salam kepada yang tua” .

Selain itu Islam juga menganjurkan orang yang berkedudukan tinggi memulakan salam kepada orang yang lebih rendah. Rasulullah s.a.w sendiri sering memulakan salam kepada sahabat-sahabat baginda, anak-anak dan para wanita. Dari Abi Umamah (r.a): dikatakan: Ya Rasulullah, jika dua orang muslim saling bertemu, siapakah yang sepatutnya mendahului dengan ucapan salam? Baginda menjawab: “Yang paling utama kedudukannya di sisi Allah.” (HR Tirmizi, beliau berkata: hadith hasan). Secara tidak langsung, hikmah orang berkedudukan memulakan salam adalah kerana untuk menjauhkan diri dari sifat sombong dan takabbur. Sebaliknya membiasakan diri untuk sentiasa merendah diri.

Adakah dibolehkan lelaki memberi salam kepada wanita dan wanita memberi salam kepada lelaki? Ada beberapa hadith yang menunjukkan bolehnya lelaki memberi salam kepada wanita dan juga sebaliknya. Dr Yusuf Al-Qaradawi menyatakan dalam fatwanya: Di dalam sahih al-Bukhari, diriwayatkan bahawa Ummu Hani` binti Abi Talib berkata: “Saya pergi menemui Rasulullah s.a.w. pada hari pembukaan Kota Mekah, saya dapati baginda sedang mandi dan anaknya, Fatimah menutupnya. Saya memberi salam kepada baginda dan baginda bertanya: “Siapa itu?” Saya menjawab Ummu Hani` binti Abi Talib. Baginda bersabda: “Selamat datang Ummu Hani”. Hadis ini juga diriwayatkan oleh Muslim.(Fatwa Mu’asarah,Dr Yusuf Al-Qaradawi,juz 2 m.s 295).

Selain itu, dari Asma’ binti Zaid (r.a) berkata: Rasulullah s.a.w. melewati(melalui) kami dalam sekumpulan wanita dan baginda memberi salam kepada kami. (HR Abu Daud dan Tirmizi, beliau berkata: hadith hasan). Tetapi perlu dingat, sebahagian ‘ulama menyatakan bahawa ucapan salam diantara lelaki dan wanita itu sebaiknya aman atau selamat dari fitnah. Wallahu ‘alam.

- Rujukan Hadith: (Imam Nawawi, kitab Riyadussolehin, Darussalam.)

Penulis: Abdul 'Azim bin Haji Ismail.
Powered By Blogger