Monday, May 10, 2010

Keajaiban Hati Manusia.

Sungguh besar nikmat yang Allah Subhanahu Wata’ala berikan kepada sekalian manusia. Penciptaan manusia sungguh berbeza dengan makhluk lain sehingga perbezaan tersebut tidak dapat dijangkau oleh akal manusia itu sendiri.

Hati memainkan peranan yang penting dalam kehidupan hal ehwal setiap individu yang mana ia sangatlah berbeza dan istimewa berbanding dengan hati makhluk yang lain. Hati manusia mempunyai keupayaan untuk merasa pelbagai perasaan. Kadang-kadang kita merasa gembira, sedih, riak, sombong, marah dan lain-lain lagi dan itu menjadikan salah satu daripada keistimewaan hati manusia yang mana ianya sering berubah-ubah tanpa kita sendiri dapat mengawalnya. Perasaan yang berbeza-beza inilah yang mempengaruhi sikap yang wujud pada diri manusia itu sendiri. Tidak dinafikan hatilah yang mengawal segala tindak tanduk kita berbanding akal. Walaupun darjat akal lebih tinggi daripada hati namun manusia tetap cenderung mengikut kata hati masing-masing. Kalau muncul perasaan yang baik,baiklah tindakannya dan begitulah sebaliknya. Keadaan seumpama ini seakan-akan hati sebagai raja yang bertakhta di dalam diri manusia sementara akal sebagai penasihat dan anggota lain pula lahir sebagai rakyat jelata yang sentiasa menurut perintah yang lahir dari hati.

Sabda Rasulullah yang kira-kira bermaksud: "Ketahuilah sesungguhnya di dalam tubuh ada segumpal daging. Apabila dia baik,maka seluruh tubuh akan baik. Apabila dia rusak maka seluruh tubuh akan rusak. Ketahuilah segumpal daging itu adalah hati." (HR Bukhari)

Oleh sebab itulah kita dianjurkan untuk menjaga hati kita dari terpengaruh oleh musuh utama manusia iaitu nafsu dan syaitan. Apabila kita mengabaikan hati, ini bererti kita menjerumuskan diri kita ke arah kegelapan seperti firman Allah ‘Azza Wajalla, yang maksudnya:

Beruntunglah barangsiapa yang membersihkan hatinya dan rugilah siapa yang mengotorinya,” (Surah Asy-Syams : Ayat 9)

Hati seorang mukmin bolehlah digambarkan sebagai antara hati yang bersih. Hati yang bersih itu membuatkan Hamba Allah senantiasa takut dan sujud kepadaNya. Antara sifat seorang mukmin itu adalah:
1. Sentiasa takut kepada Allah Subhanahu Wata’ala.
2. Merasa syukur atas nikmat yang telah diberikan.
3. Merasa tidak tenang apabila membuat sesuatu kesalahan meskipun kesalahan itu kecil sahaja.
1. sentiasa berasa dirinya diawasi oleh Allah Yang Maha Melihat segala sesuatu.
2. Redha dan sabar dengan ketentuan Ilahi.
3. Sentiasa rendah diri dengan Tuhan .
4. Sentiasa mengingati nikmat Allah yang tidak terhitung banyaknya.

Itulah antara sifat yang sepatutnya dimiliki oleh segenap manusia . Sifat inilah yang membuat kita merasakan keikhlasan, kejujuran, kasih sayang dan keharmonian. Hati yang terikat dengan sifat ini dapat mewujudkan ketenangan jiwa, kedamaian serta kebahagian yang sememangnya diidam-idamkan oleh setiap individu. Tanpa adanya sikap positif dalam diri akan muncul pula perkara yang negatif seperti hasad dengki ,sombong, iri hati dan lain-lain lagi dan mustahil bagi kita akan hidup dalam suasana yang harmoni.Oleh itu jagalah hati dengan mengingati Allah agar kita dapat menjauhi segala anasir-anasir yang negatif dari cuba memasuki hati kita dan Allah jadikan akal untuk kita berfikir berdasarkan ilmu..

“Iman tanpa ilmu adalah sia-sia, amal tanpa ilmu adalah tiada, iman serta amal berlandaskan ilmu insyaALLAH selamat dunia akhirat “

Disediakan oleh:
SITI NORKHALIFAH BTE HJ ASSIM

No comments:

Post a Comment

Powered By Blogger