Monday, May 17, 2010

Penyesalan yang Tiada Noktahnya.

Sebelum ini, aku sering mendengar kawan-kawanku mengungkapkan kata-kata seperti “Hargailah seseorang itu selagi dia masih ada." Namun aku tidak dapat menerima kata-kata mereka itu. “Alah..Itu semua kata-kata orang dulu lah babe, sekarang ini zaman sudah berubah, tidak boleh pakai lagi” kataku dengan bangganya.

Namun, itu cuma cerita-cerita di tahun lalu. Setelah apa yang telah menimpa diri ku kini, baru ku sedari bahawa semua apa yang kawan-kawanku telah katakan padaku dulu itu adalah betul. Menangis air mata darah sekali pun keadaan tetap tidak akan berubah. Itulah yang ku alami ketika ini. Penyesalan yang tiada penghujungnya.

Maya, itulah nama manjaku ketika di rumah. Malahan hampir semua kawan-kawanku memanggil aku dengan nama itu. Mesti orang akan menbayangkan aku adalah seorang yang lemah-lembut, selembut namaku itu. Namun aku tidak seperti yang digambarkan. Aku tidak tahu mengapa aku tidak begitu mesra dengan ibuku. Ibu adalah ibu tiriku. Ayah menikahinya setelah mamaku pergi menyahut panggilan Ilahi buat selamanya.

Selalunya bila disebut ibu tiri mesti orang membayangkan seorang yang garang tetapi tidak ibuku, dia seorang yang lemah-lembut dan penyayang. Namun yang menjadi masalah disini ialah aku yang tidak dapat menerima kehadirannya di antara aku dan ayah. Aku takut kasih sayang ayah terhadapku akan beralih kepada ibu, sebab itulah aku selalu bersikap kasar terhadap ibu. Tapi jauh di sudut hatiku, aku mengharapkan belaian mesra dari seorang insan yang bergelar ibu. Bukan ibu tidak pernah mencuba untuk mendekati diriku, tapi aku yang langsung tidak memberinya peluang.

“Maya, kenapa buat ibu begitu?Ayah tidak pernah ajar anak ayah bersikap kurang ajar selama ini?Mana pergi Maya ayah yang lemah lembut dulu?”

Ayah sering menegurku bila aku mula bersikap biadap terhadap ibu. Entah syaitan manakah yang telah merasuk aku hingga sanggup membuat ibuku begitu. Bukan aku tidak pernah nampak ibu menitiskan airmatanya tetapi aku buat tidak nampak saja. Sungguh keras hatiku untuk menerimanya. Sampaikan di suatu tahap ibu pula yang memohon kemaafan terhadapku walaupun hakikatnya itu adalah kesalahnku.

Masih ku ingat pada suatu hari ibu mengemas bilikku tanpa izinku, bukannya aku mahu mengungkap kata terima kasih malahan herdikan dariku pula yang diterimanya.

“Ibu cuma….”

Belum pun habis ibu berkata, aku terus mencelah,

“Siapa izinkan awak masuk dalam bilik Maya?Sudah Maya kata, Maya tidak suka barang-barang Maya disentuh tanpa izin, lebih-lebih lagi awak!” kata ku sambil menunding jariku kemukanya.

“Maya!!!!”

Satu penampar singgah ke pipiku hingga aku jatuh hampir mencium lantai. Aku tergagam atas tindakan ayah, sanggup dia menamparku hanya kerana wanita itu.

“Kenapa ayah tengok Maya semakin hari semakin tidak hormatkan ibu?Ayah kecewa dengan sikap Maya!” jelas kelihatan ayah sedang menahan marahnya terhadapku. Semakin bercambahlah benciku terhadap ibu setelah apa yang telah ayah lakukan terhadapku. Dengan kudrat yang ada aku terus berlari keluar dari bilikku. Sempat lagi aku menoleh kebelakang melihat ibu sedang menenangkan ayah dan menerangkan bahawa aku tidak bersalah dalam hal itu.

“Sungguh baik hatimu ibu..” aku berkata di dalam hati. Tetapi aku tetap tidak dapat menerimanya.

Sudah 5 hari aku duduk menumpang di rumah Nur kawan sekuliahku, kebetulan keluarganya pergi bercuti diluar negeri. Bukan ayah dan ibu tidak pernah datang memujukku untuk pulang kerumah, tetapi aku yang berkeras tidak mahu. Kali terakhir ayah dan ibu datang memujukku, ku lihat ibu seperti kurang sihat, dia kelihatan pucat dan letih. “Ahhhh, hendak minta simpati lah tu, ingat Maya tidak tahu” bisik hatiku. Selepas hari itu ayah dan ibu tidak lagi datang memujukku. Mungkin mereka sudah letih untuk memujukku.

Hingga pada suatu hari Nur datang menemuiku setelah habis kuliah dalam keadaan tercunggap-cunggap.

“Maya, Maya...” aku hairan melihat keadaannya itu.

“Kenapa dengan awak ni?Kena kejar hantu? Muka pucat macam mayat,” kataku dengan nada bergurau. Al-Maklumlah Nur dikenali dengan sikap gopohnya.

Nur menyerahkan telefon bimbitnya kepadaku. Ku capai telefon bimbitnya dan terus melihat apa yang sensasi sangat sampai tidak sabar-sabar hendak beritahu aku. Setelah ku lihat apa yang terpampang di screen telefon bimbitnya, dunia ku rasa bagaikan berputar laju, tanpa sempat ku berkata apa-apa aku terus rebah pengsan.

“Beeepppp…Beeeppp!” bunyi menandakan ada pesanan ringkas masuk ke telefon bimbitku. Aku tersedar dari lamunan jauhku.

“Ibu, Maya rindu ibu, Maya berdosa terhadap ibu, Maya anak derhaka bu, Maya selalu buat ibu menangis,” rintihku. Airmataku mengalir lagi untuk sekian kalinya.

“Maya, sudahlah tu Maya, yang pergi tetap akan pergi, kita yang masih bernyawa perlu meneruskan hidup, kalau Maya terus begini nanti Maya jatuh sakit..” ayah menenangkan aku sambil mengosok-gosok lembut kepalaku.

Semakin lebatlah tangisanku setelah mendengar kata-kata ayah tadi. “Tapi Maya banyak buat dosa dengan ibu, ayah… Maya selalu sakitkan hati ibu..” tangisku lagi.

“Ibu sudah maafkan Maya, ibu tidak berdendam dengan Maya nak~sudahlah menangis Maya, kan lebih elok kalau Maya sedekahkan ibu ayat-ayat suci Al-Quran daripada Maya terus-terusan menangis begini..”

*************************************************************

Begitulah aku setahun yang lalu, ibu pergi mengadap Ilahi akibat daripada penyakit barah rahim yang ditanggungnya. Betapa kejamya aku hingga aku tidak menyedari bahawa ibuku sedang bertarung nyawa melawan kesakitan yang dialaminya.

“Ibu, andai Maya diberi peluang sekali lagi, akan Maya hormati ibu sepertimana Maya menghormati mama, tidak sekali-kali Maya menyakiti hati ibu..” rintihku di dalam hati. Namun semua itu adalah terlalu mustahil, apa yang telah terjadi tetap tidak akan berubah. Hidup perlu diteruskan walau pahit sekalipun.

Kini aku menyedari bahawa kita sering tidak menghargai peluang yang diberikan, kita sering alpa dan lalai dengan kehidupan duniawi ini sehingga kita lupa akan tanggungjawab kita sesama manusia. Oleh itu, hargailah seseorang itu selagi dia masih bernyawa, bukan saja terhad kepada ibu bapa kita malahan sesiapa saja yang berada di sekeliling kita, termasuklah adik-beradik kita serta kawan-kawan kita. Bahagiakanlah mereka dengan apa yang kita terdaya. Tanpa mereka siapalah kita. Kita tidak akan pernah menyedari betapa pentingnya seseorang atau sesuatu itu hinggalah kita kehilangannya.

Di samping itu, sifat hormat-menghormati juga adalah di antara perbuatan yang dituntut oleh Islam terhadap kita sesama manusia, lebih-lebih lagi terhadap kedua orang tua kita walaupun meraka hanya sekadar ibu tiri atau ayah tiri kita. Kita tidak tahu apa rancangan Allah terhadap kita, selagi ada peluang kita gunakanlah peluang tersebut. Ajal, maut, jodoh dan pertemuan adalah di tangan Allah. Siapa tahu hari ini adalah hari terakhir kita berbuat bakti terhadap mereka, kali terakhir kita ketawa bahagia bersama mereka, jadi rebutlah peluang yang telah diberikan kepada kita. Mungkin hari esuk kita tidak lagi berpeluang berbuat begitu. Apa yang pasti hargailah apa yang dianugerahkan terhadap kita supaya hari esuk tidak akan ada penyesalan di dalam diri kita.

Disediakan oleh :
NURALISAH @ NUR NABILAH BTE MD ALIZAM TEO

No comments:

Post a Comment

Powered By Blogger