Allah Subhanahu Wata’ala menganugerahkan otak kepada manusia untuk manusia berfikir dan kemampuan untuk berfikir ini tidak tergantung kepada saiz atau berat fizikal sebenar. Walaupun otak itu sebenarnya hanya bersaiz kecil, namun ia boleh menghasilkan sesuatu yang besar dan di luar kemampuan tubuh fizikal manusia itu. Kadang-kadang kita melihat seorang yang bertubuh kecil mampu mengangkat beberapa guni beras walaupun hanya dengan kedua belah tangan. Apabila keazaman sudah timbul di hati seseorang itu, kemudian hati menghantar azam itu ke dalam otak, seseorang itu boleh saja melakukan sesuatu yang difikirkan mustahil untuknya melakukan.
Tidak semua manusia dilahirkan dengan IQ yang tinggi dan tidak semua dilahirkan dengan tubuh yang kuat. Di sinilah otak memainkan peranan. Sedari kecil, kita disuruh untuk menanam cita-cita. Semakin kita dewasa, cita-cita itu semakin berkembang dan kita ingin untuk mencapainya. Sebenarnya pemikiran itulah yang tertanam di benak otak kita. Pada awal mula nya hati menimbulkan keinginan untuk menanam cita-cita itu kemudian hati menghantar ke otak kita, kemudian otak memprosesnya dan menanamnya. Ianya sering diulang-ulang sehingga kita kerap memikirkannya dan kita berkeinginan sekali untuk melaksanakannya.
Dalam belajar, ada pelajar yang beroleh kejayaan yang cemerlang berbanding dengan pelajar lain walaupun guru yang mengajar mereka adalah guru yang sama. Sebenarnya kekerapan belajar yang telah berulang pada otak seorang pelajar itulah yang membezakannya. Apabila ditanya bagaimana cara seorang pelajar itu belajar, sudah pasti akan didapati perbezaannya. Otak yang seringkali menerima masuk hafalan yang berulang, lebih pasti akan lebih mengingat apa yang diingatinya untuk jangka masa yang lama berbanding dengan otak yang hanya menerima masuk sekali hafalan sahaja. Kerana itulah kita seringkali disuruh membuat latihan berulang kali sebelum peperiksaan. Ini bertujuan agar otak kita mudah mengingat sesuatu yang seringkali diulang-ulang.
Cara-cara meningkatkan kemampuan otak:-
1. Mengajar ilmu atau pengetahuan yang kita ada pada orang lain.
2. Membaca buku yang berbentuk ilmiah.
3. Menjaga tubuh badan dengan baik.
4. Belajar dengan teknik gambaran.
5. Meningkatkan motivasi diri.
6. Sentiasa melatih otak kita untuk mencuba perkara yang baru.
7. Mengingat apa yang telah dihafal melalui perbincangan.
8. Merehatkan otak dengan cara bersiar-siar, bersukan, tidur yang cukup, membaca Al-Quran dan solat sunat.
Di sini saya hanya akan membincangkan mengenai belajar dengan teknik gambaran dan meningkatkan motivasi diri.
1) Belajar dengan teknik gambaran.
Belajar dengan cara ini sebenarnya merupakan cara yang sangat baik terutama sekali kepada para penghafal. Sebagai contoh: jika kita ingin mempelajari mengenai kehidupan peribadi seseorang, kita boleh menggambarkan cara kehidupannya. Sebenarnya berimaginasi itu boleh membantu menjana gelombang Alpha iaitu gelombang minda yang paling sihat di dalam otak. Jika kita ingin mengingati sesuatu yang tidak ada keterkaitan langsung seperti kapal terbang dan pokok, kita boleh mengimaginasikan kedua benda ini dengan mewujudkan keterkaitannya seperti pokok yang membuahkan kapal terbang. Walaupun ianya nampak mustahil namun cara ini sangat berkesan untuk mengingati sesuatu.
2) Meningkatkan motivasi diri
Sesetengah orang tidak dapat mencapai apa yang diinginkan kerana kurangnya motivasi sendiri. Kalau kita ingin mengawal sesuatu dan ingin mencapainya, capailah dengan minda dahulu dengan cara menanamkan semangat yang kuat di minda kita. Ini boleh menguatkan azam kita untuk terus menuju ke arah kecemerlangan. Otak yang telah menerima keazaman diri akan membolehkan seseorang itu mencapai peningkatan motivasi diri dan sekaligus mampu membuka minda pemikiran dengan lebih meluas lagi.
Kesimpulan:
Otak yang tidak dirangsang atau diarahkan berfikir, lama-kelamaan akan berkarat. Otak perlu dirangsang untuk berfikir setiap masa. Lebih banyak kita berfikir, lebih tinggi kemampuan otak kita. Berfikir tidak semestinya memikirkan hal-hal dunia sahaja. Sebagai seorang muslim, kita perlu menyeimbangkan dengan perkara akhirat. Melatih otak untuk memikirkan kehebatan kekuasaan ciptaan Allah Subhanahu Wata’ala merupakan salah satu cara untuk meningkatkan kemampuan otak. Dengan memikirkan setiap ciptaan Allah Subhanahu Wata’ala, kita bukan saja dapat melatih pergerakkan otak kita bahkan kita juga akan lebih mengenal kehebatan ciptaan Allah Subhanahu Wata’ala, Tuhan Pencipta Alam.
Firman Allah Subhanahu Wata’ala di dalam surah Al-Baqarah, ayat 164:
إن في خلق السموات والارض واختلاف الليل والنهار والفلك التي تجري في البحر بما ينفع الناس وما أنزل الله من السماء من ماء فاحيا به الارض بعد موتها وبث فيها من كل دابة وتصريف الرياح والسحاب المسخر بين السماء والارض لايات لقوم يعقلون
Sejenak untuk menguji minda biskita:-
1)Mengingat 13 digit nombor yang ada di bawah:
3874028775893
2)Mengingat benda-benda yang tidak ada keterkaitan langsung:
Kapal terbang - pokok – surat – terbang – nyanyian – bintang – hidung – hijau – komputer - rumah
3) Membayangkan benda atau apa-apa sahaja yang ada kaitan dengan“ merah”
Rahsia soalan-soalan di atas:-
1. Jika biskita dapat mengingatnya, bererti biskita telah menggunakan 1% daripada kemampuan otak biskita.
2. Teknik penghafalan yang berkesan. Teknik tersebut adalah dengan membayangkan imaginasi yang mustahil. Teknik ini sangat berkesan untuk para penghafal dan ianya turut diperkenalkan oleh penulis buku “The Memory Book”, Harry Lorayne & Jerry Lucas.
3. Jika biskita dapat membayangkan banyak benda dari “merah”, ini bererti biskita telah cuba membuka pemikiran biskita untuk memikirkan sesuatu perkara dari pelbagai sudut.
Disediakan oleh:
FAYYADHAH BTE LATIP
No comments:
Post a Comment