Friday, March 26, 2010

Hidup Mesti Bermatlamat.

Apakah matlamat hidup kita sebagai seorang muslim? Kita sering lalai dan tidak menyedari apa matlamat hidup kita yang sebenar yang bergelar sebagai seorang muslim.

Melaksanakan ibadah kerana Allah adalah antara perkara penting yang perlu diambil berat dalam menjalankan kehidupan kita seharian. Ibadah dsini bererti ibadah yang meliputi semua aspek kehidupan. Pastinya semua orang mempunyai matlamat hidup dalam meneruskan kehidupan di muka bumi yang fana ini.

“ Sesungguhnya solatku,ibadahku,kehidupanku dan kematianku adalah kerana Allah SWT,Tuhan sekalian alam.” (Al-An’am : 162)

Ayat ini menjelaskan bahawa kehidupan dan kematian kita dikhususkan hanya kerana Allah.

Di dalam Al-Quran juga ada menyebutkan tentang tumpuan hidup golongan manusia dan matlamat mereka hanyalah:
- Makan dan berseronok
- Hiasan dan kesenangan hidup
- Mewujudkan huru-hara,membuat kerosakan dan mencetuskan suasana yang tidak selamat dan tidak aman.

Adakah kita memiliki atau tergolong dalam salah satu ataupun kesemuanya? Allah menciptakan manusia adalah sebaik-baik ciptaan dan kita harus menyedari tentang hakikat penciptaan ini.

Firman Allah: "وما خلقت الجن والانس الا ليعبدون"
Yang kira-kira bermaksud: Allah tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepadaku.

Setiap individu itu mempunyai erti sebuah kehidupan mereka tersendiri yang harus ada matlamat hidup. Matlamat ini haruslah jelas dan spesifik. Jika matlamat ini kabur bagaimana kita hendak meneruskan perjalanan hidup yang lebih bermakna. Adakah kita mahu hidup dalam keadaan yang sia-sia tanpa matlamat untuk dicapai?

Manusia sentiasa mengatakan tentang matlamat untuk hidup gembira,mahukan kesihatan yang baik, mahu memperolehi duit yang banyak,ingin membina rumahtangga bahagia,inginkan untuk berjaya dan lain-lain matlamat.Mereka telah awal mengambarkan dan membayangkan bagaimana kehidupan yang mereka inginkan dan apa yang mereka hendak lakukan atau miliki.

“Pada suatu hari nanti” kepada “Hari ini” adalah perkataan yang harus ada di dalam hati dan sentiasa
terngiang-ngiang di telinga. Matlamat dan visi mestilah dicapai dengan segala aspek dan usaha yang
lebih untuk menjadikanya realiti.

Visi dan matlamat dalam kehidupan kita mempunyai kaitan yang rapat. Visi dan matlamat ini berkongsi dalam mendefinasikan apa yang manusia kehendaki dan apa yang mereka gambarkan dalam fikiran mereka.

Contoh:
VISI: Ingin berniaga di sebuah kedai.
MATLAMAT: Beroleh keuntungan yang besar dalam masa tiga tahun.

Langkah-langkah dan cara strategi perlulah diatur dan dibina untuk memperolehi kesan kejayaan.

Di antaranya ialah:-

- Mewujudkan keinginan yang mendalam
- Menuliskan matlamat itu
- Menetapkan tempoh dan bila akan mencapainya
- Membuat perancangan yang bijak
- Menggambarkan kejayaan dalam fikiran
- Menangani segala rintangan dan halangan
- Baki 90% adalah usaha dan keazaman

Ciri-ciri orang yang tiada matlamat adalah malas,tidak ada minat,asyik keborengan,ragu-ragu dengan apa yang dihadapi. Akan tetapi setiap orang yang bermatlamat akan yakin dengan apa yang akan diperolehinya nanti, tidak pada hari ini mungkin esok.

Semangat yang sentiasa inginkan kejayaan hingga ke penghujungnya tanpa ada keraguan adalah diperlukan. Jika kita sudah menetapkan matlamat untuk dilaksanakan,janganlah lagi kita berhenti di tengah jalan dan berpaling untuk meneruskan perjuangan. Kebaikan dan keburukanya harus diteliti dan setiap matlamat pastinya berisiko. Kita haruslah menghadapi ketakutan itu dengan mengharunginya. Janganlah jadikan usaha kita selama ini suatu perkara yang sia-sia.

Hiduplah dengan bermatlamatkan menuju ke arah kejayaan dalam hidup.

Disediakan oleh: RABIZAH HJ DAIM

No comments:

Post a Comment

Powered By Blogger