Kita sudah tidak asing lagi dengan peribahasa “Sebab pulut santan binasa, sebab mulut badan binasa.” Peribahasa ini membawa maksud “Kecelakaan yang timbul akibat terlepas cakap.” Walaupun kita sudah tahu bahaya tersalah cakap, namun ada di antara kita yang masih lagi kurang mengambil perhatian dengan tuntutan memelihara lidah.
Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman di dalam surah al-Ahzab ayat 70-71 yang bermaksud:
“Hai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar, niscaya Allah memperbaiki bagimu amalan-amalanmu dan mengampuni bagimu dosa-dosamu. Dan barangsiapa menta’ati Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya dia telah mendapat kemenangan yang besar.”
Sabda Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam yang bermaksud:
“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia berkata yang baik atau diam.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Dengan melihat kepada ayat al-Qur’aan dan hadith Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, maka jelaslah kepada kita bahawa sesungguhnya agama Islam mengajak umatnya untuk memelihara lisan. Berkata sesuatu yang sia-sia, berlebihan di dalam bergurau senda, mengadu domba, berbohong, membongkar rahsia, mencaci, menghina, mengumpat, menyindir dan sebagainya boleh berlaku akibat tidak mengawal lisan dan semua perkara ini boleh menyebabkan pertengkaran sekaligus menghancurkan keharmonian berkeluarga atau bermasyarakat.
Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala di dalam surah al-Hujurat ayat 12 yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat lagi Maha Penyayang.”
Sabda Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam yang bermaksud:
"Sesungguhnya sebahagian besar dari kesalahan anak Adam itu terletak pada lisannya." (Riwayat at-Tabrani)
Lidah adalah anggota badan yang kecil namun ianya mempunyai peranan yang besar. Sesungguhnya Allah mengurniakan lisan untuk berkata perkara yang hak, baik serta zikrullah. Oleh yang demikian, marilah kita sama-sama memelihara lisan kita dari berkata sesuatu yang sia-sia. Ingatlah, peribahasa ada menyatakan; “Terlajak perahu masih boleh diundur lagi, terlajak kata buruk padahnya.”
Disediakan Oleh: Norsalwana Hj Ibrahim.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment