Wednesday, March 3, 2010

Assalamu'alaikum.

“Mahukah aku tunjukkan kepada kamu sesuatu yang jika kamu lakukan nescaya kamu akan saling mencintai?”

Apakah jawapan bagi soalan diatas? Mungkin ada yang mengetahui dan biasa mengamalkannya dan mungkin juga tidak. Ia sesuatu yang nampak kecil tetapi ganjarannya adalah besar. Ia sesuatu yang mudah tetapi mungkin ramai yang tidak mengamalkannya. Ia sesuatu yang diucap dengan senyuman. Dalam hadith sahih riwayat Muslim, dari Abu Hurairah Radhiyallahu 'Anhu berkata: Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda: “Tidaklah kamu akan memasuki syurga sehinggalah kamu beriman dan tidaklah kamu beriman sehinggalah kamu saling mencintai. Mahukah aku tunjukkan kepada kamu sesuatu yang jika kamu lakukan nescaya kamu akan saling mencintai? Sebarkanlah salam di antara kamu.” (HR Muslim). Ia adalah ucapan “Assalamu’alaikum!”

Dalam Al-Quran Allah berfirman (maksudnya) “Apabila kamu dihormati dengan suatu penghormatan, maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik atau balaslah (dengan yang serupa) “ ( Surah An Nisaa, ayat 86) Penghormatan dalam Islam ialah dengan mengucapkan “Assalamu’alaikum”.
Mengucapakan salam kepada sesama muslim adalah sesuatu yang dituntut. Ia menunjukan kita sesama Islam adalah bersaudara samada kita mengenalinya atau tidak. Tetapi sebilangan kita kadang-kadang berasa kaku untuk memulakan salam kepada saudara Islam kita yang tidak kita kenali. Mungkin ada sebahagian kita yang akan mengatakan sebegini “Apa faedah jika saya beri salam kepadanya,sedangkan saya tidak mengenalinya?”.

Persoalan pertama, apa faedahnya? atau apa ganjarannya? Dalam sebuah hadith, dari Abi Yusuf Abdullah bin Salam (r.a) berkata: Aku mendengar Rasulullah Sallallhu 'Alaihi Wasallam bersabda: “ Sebarkanlah salam, berilah makan, sambunglah silraturahim, dirikanlah solat pada waktu malam ketika orang-orang sedang tidur (Qiamulail), nescaya kamu akan masuk syurga dengan selamat.” .(HR al-Tirmizi, beliau berkata: hadith hasan sahih). Maka sudah jelas bahawa antara ganjaran kepada orang yang menyebarkan salam adalah syurga Allah SWT.

Persoalan kedua, perlukah mengucapkan salam kepada orang Islam yang tidak kita kenali? Dari ‘Amr bin al-As (r.a) sesungguhnya seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah s.a.w: Islam bagaimanakah yang paling baik? Rasulullah s.a.w. menjawab: “Memberi makan dan mengucapkan salam kepada orang yang dikenalinya dan orang yang tidak dikenalinya.” (HR Bukhari dan Muslim)

Hukum mengucapkan salam adalah sunat dan hukum menjawab salam pula adalah wajib. Kaifiat atau lafaz ucapan salam yang paling ringkas ialah “Assalamu’alaikum” dan dijawab dengan “Wa’alaikumsalam”, bukan dengan lafaz-lafaz yang disebut dengan sambil lewa seperti samekom, saimaikum,asamikum atau dengan lafaz guraun seperti ayambeikong. Ini kerana mengucapkan salam itu adalah doa, bukan lafaz yang diperolok-olokkan. Lafaz terbaik dalam mengucapkan salam ialah “Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh”

Seorang lelaki pernah menghampiri Rasulullah s.a.w. dan mengucapkan “Assalamu’alaikum.” Lalu baginda menjawab salamnya kemudian duduk, Rasulullah berkata: “Sepuluh (kebaikan).” Kemudian datang pula orang lain mengucapkan: “Assalamu’alaikum warahmatullah.” Lalu baginda menjawab salamnya kemudian duduk, Rasulullah berkata: “Dua puluh (kebaikan).” Kemudian datang pula orang lain dengan mengucapkan: “Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.” Lalu baginda menjawab salamnya kemudian duduk, Rasulullah berkata: “Tiga puluh (kebaikan).” (HR Abu Daud dan Tirmizi,beliau berkata: hadith hasan)

Timbul satu persoalan lain dalam mengucapkan salam, siapakah yang seharusnya mendahului dengan ucapan salam? Dari Abu Hurairah (r.a) Rasulullah s.a.w. juga bersabda: “Orang yang berkenderaan hendaklah memberi salam kepada orang yang berjalan, seorang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk dan kumpulan yang kecil hendaklah memberi salam kepada kumpulan yang lebih besar jumlahnya.” (HR Bukhari dan Muslim) dan dalam riwayat Bukhari: “dan kanak-kanak hendaklah memberi salam kepada yang tua” .

Selain itu Islam juga menganjurkan orang yang berkedudukan tinggi memulakan salam kepada orang yang lebih rendah. Rasulullah s.a.w sendiri sering memulakan salam kepada sahabat-sahabat baginda, anak-anak dan para wanita. Dari Abi Umamah (r.a): dikatakan: Ya Rasulullah, jika dua orang muslim saling bertemu, siapakah yang sepatutnya mendahului dengan ucapan salam? Baginda menjawab: “Yang paling utama kedudukannya di sisi Allah.” (HR Tirmizi, beliau berkata: hadith hasan). Secara tidak langsung, hikmah orang berkedudukan memulakan salam adalah kerana untuk menjauhkan diri dari sifat sombong dan takabbur. Sebaliknya membiasakan diri untuk sentiasa merendah diri.

Adakah dibolehkan lelaki memberi salam kepada wanita dan wanita memberi salam kepada lelaki? Ada beberapa hadith yang menunjukkan bolehnya lelaki memberi salam kepada wanita dan juga sebaliknya. Dr Yusuf Al-Qaradawi menyatakan dalam fatwanya: Di dalam sahih al-Bukhari, diriwayatkan bahawa Ummu Hani` binti Abi Talib berkata: “Saya pergi menemui Rasulullah s.a.w. pada hari pembukaan Kota Mekah, saya dapati baginda sedang mandi dan anaknya, Fatimah menutupnya. Saya memberi salam kepada baginda dan baginda bertanya: “Siapa itu?” Saya menjawab Ummu Hani` binti Abi Talib. Baginda bersabda: “Selamat datang Ummu Hani”. Hadis ini juga diriwayatkan oleh Muslim.(Fatwa Mu’asarah,Dr Yusuf Al-Qaradawi,juz 2 m.s 295).

Selain itu, dari Asma’ binti Zaid (r.a) berkata: Rasulullah s.a.w. melewati(melalui) kami dalam sekumpulan wanita dan baginda memberi salam kepada kami. (HR Abu Daud dan Tirmizi, beliau berkata: hadith hasan). Tetapi perlu dingat, sebahagian ‘ulama menyatakan bahawa ucapan salam diantara lelaki dan wanita itu sebaiknya aman atau selamat dari fitnah. Wallahu ‘alam.

- Rujukan Hadith: (Imam Nawawi, kitab Riyadussolehin, Darussalam.)

Penulis: Abdul 'Azim bin Haji Ismail.

No comments:

Post a Comment

Powered By Blogger