Wednesday, March 24, 2010

Solat Musafir.

Solat Qasr dan Jama’ merupakan suatu kemudahan dan keringanan yang diberikan oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala kepada hambaNya yang dalam keadaan musafir. Musafir yang dimaksudkan ialah orang yang di dalam perjalanan jauh tidak kurang dari dua marhalah bersamaan dengan 89 atau 90 kilometer dan perjalanannya itu bukan kerana maksiat. Solat fardhu boleh dilaksanakan secara Qasr atau Jama’ atau keduanya sekali (Qasr dan Jama’). Mengerjakan solat secara Qasr dan Jama’ bukanlah suatu kewajipan bagi seorang musafir bagaimanapun ianya lebih afdhal dilakukan daripada menyempurnakan rakaat solatnya.

Solat Qasr adalah memendekkan solat fardhu empat rakaat menjadi dua rakaat iaitu solat Zohor, Asar dan Isya. Solat Qasr tidak harus dilakukan melainkan apabila telah keluar dari kampung tempat bermuqim.

Solat Jama’ ialah menghimpunkan dua solat fardhu yang berbeza dan ditunaikan di dalam satu waktu iaitu solat Zohor dan Asar, atau solat Maghrib dan Isya. Ini bererti solat Subuh tidak boleh dikerjakan secara Qasr atau Jama’, manakala solat Maghrib hanya boleh jama’ tetapi tidak boleh qasr. Solat Jama’ boleh dilakukan dengan dua cara iaitu Jama’ Taqdim atau Jama’ Ta’khir.

Jama’ Taqdim ialah menghimpunkan solat Zohor dan Asar dikerjakan dalam waktu Zohor iaitu dengan menunaikan solat Zohor terlebih dahulu atau menghimpunkan solat Maghrib dan Isya dikerjakan dalam waktu Maghrib iaitu dengan menunaikan solat Maghrib terlebih dahulu.

Wajib mendahulukan solat Zohor dari solat Asar atau mendahulukan solat Maghrib dari solat Isya’ di dalam solat Jama’ Taqdim dan hendaklah tidak ada penghalang di antara dua solat yang dikerjakan seperti bercakap atau melakukan solat sunat kerana mualah (berturut-turut) menjadi syarat bagi solat Jama’ Taqdim. Wajib berniat jama’ di dalam solat yang pertama iaitu pada waktu Zohor dan Maghrib semasa takbiratul ihram atau di tengah-tengah solat selagi belum berakhirnya solat tersebut.

Solat Jama’ Ta’khir ialah menghimpunkan solat Zohor dan Asar dan dikerjakan di dalam waktu Asar atau menghimpunkan solat Maghrib dan Isya’ dan dikerjakan di dalam waktu Isya’.

Berniat mengakhirkan solat Zohor ke dalam waktu Asar atau solat Maghrib ke dalam waktu Isya’ hendaklah dilakukan di dalam waktu solat yang pertama, iaitu pada waktu Zohor atau Maghrib. Tertib di antara dua solat dan berterusan di antara keduanya tidak diwajibkan di dalam solat Jama’ Ta’khir.

Musafir juga diberi kemudahan untuk menggabungkan solat Qasr dan Jama’, sama ada Jama’ Taqdim atau Jama’ Ta’khir iaitu memendekkan solat fardhu empat rakaat menjadi dua rakaat dan pada masa yang sama boleh menghimpunkan solat Zohor dan Asar atau solat Maghrib dan Isya’.

Seorang musafir masih dibolehkan melakukan solat Qasr dan Jama’ walaupun sudah sampai ke destinasi yang dituju selagi dia bermuqim tidak lebih dari tiga hari, tidak termasuk hari pergi dan balik. Apabila dia bermuqim empat hari atau lebih hendaklah dia melakukan solat secara sempurna rakaatnya kerana telah hilang rukhsah solat musafir. Tetapi ada sebahagian ulama berpendapat bahawa solat Qasr boleh dilakukan oleh orang yang bermusafir tanpa menghadkan masa atau hari selagimana dia tidak beniat iqamah (menetap) di tempat yang dituju,dan ini adalah pandangan yang lebih rajih.

Solat Qasr dan Jama’ boleh dilakukan secara berseorangan atau berjemaah. Musafir yang mengerjakan solat Qasr boleh menjadi imam kepada jemaah yang musafir yang mengerjakan solat secara Qasr dan jemaah yang bermuqim yang tidak mengerjakan solat secara Qasr. Jemaah yang bermuqim tersebut hendaklah menyempurnakan solatnya setelah imam memberi salam. Sunat bagi imam tersebut mengatakan “sempurnakanlah solat kamu, sesungguhnya kami adalah musafir” setelah selesai memberi salam. Bagaimanapun seorang musafir yang mengerjakan solat secara Qasr tidak boleh menjadi makmum kepada imam yang tamam rakaat solatnya. Jika seorang musafir sempat mengikut satu rakaat atau lebih dari solat imam yang bermuqim (masbuk), hendaklah musafir itu menyempurnakan rakaat solatnya dan tidak boleh Qasr.

Diungkapkan beberapa masalah yang berhubungkait dengan perkara yang dibincangkan ini seperti berikut:

1. Seorang musafir tertinggal solatnya semasa di dalam perjalanan dan mengqadhanya setelah selesai dari perjalananya, adakah dia mengqadha secara qasr atau menyempurnakan rakaat solatnya? Dalam Kitab Majmu’ Syarah Muhazzab, terdapat dua pendapat bagi Imam Syafi’e dan yang paling sohih sebagaimana yang terdapat dalam Kitab Al-Um adalah wajib baginya untuk menyempurnakan rakaat solatnya. Perkara tersebut adalah disebabkan keringanan yang diberikan dalam solat Qasr dan Jama’ itu berkaitan dengan adanya keuzuran untuk mengerjakan solat secara tamam rakaatnya kerana musafir. Keringanan itu akan hilang dengan hilangnya keuzuran tersebut, iaitu apabila dia telah bermuqim.

2. Adakah seorang musafir boleh mengqadha solat semasa masih di dalam perjalanan dan bagaimanakah cara mengqadhanya? Mengqadha solat semasa dia masih di dalam perjalanannya mempunyai dua pendapat, pendapat yang paling sohih adalah dia dibolehkan mengqadha secara qasr kerana keuzuran itu masih kekal selagi dia masih musafir.

3. Adakah rukhsah solat musafir ini boleh dimanfaatkan oleh musafir yang ingin mengqadha solat yang tertinggal semasa dia bermuqim di dalam waktu musafir? Jawapannya tidak ada baginya rukhsah solat musafir iaitu qasr kerana mengqadha solat secara tamam rakaatnya masih kekal di dalam tanggungannya. Wallahu a’lam.


Rujukan:
• Kitab Majmu’ Syarah Muhazzab.
• Kitab Mughni Al-Muhtaj
• Sembahyang Qashar Dan Jama’, terbitan Pusat Da’wah Islamiah.

Disediakan oleh: Syakiratur-Rasyidah bte Hj Ismat.

No comments:

Post a Comment

Powered By Blogger