“Wang aji, kan kemana biskita?” teriak Aziz.
“Ne kan ke Excapade, kan menyushi,” jawab Ahmad.
“Oh, tiba-tiba jua kan menyushi ane. Ada papa kah?” tanya Aziz.
“Inda pulang ada papa. Aku kan belanja diri ku sendiri. Ngaleh nyamu bekeraja ane. Yatah diri ane mesti dibagi imbalan. Aku kan relax-relax dulu kan bagi rehat badan ku,” jelas Ahmad.
“Kan belanja diri mu sendiri? Cali jua kau ane, biasa urang yang belanja urang ane. Baru ku pernah mendangar urang belanja diri sendiri ane.”
“Nah, yatah tu nah Ziz. Hari-hari kau suruh tubuh badan mu bekeraja. Minda mu bekeraja. Tapi lupa kau kan belanja tubuhmu kalau kau bejaya dalam apa-apa. Kawan selalu tane ingat kan belanja, why not ketane belanja diri tane jua sekali-sekala. Lagi pun ada jua baiknya belanja diri sendiri ane, dapat meningkatkan motivasi dalam diri ketane.”
“Banar jua nyamu atu wang aji. Bah maritah kesana sama-sama. Aku kan belanja diri ku jua hari ane. Boss tadi puas hati dengan keraja ku minggu lapas. Puji-pujinya ku tadi. Atukan biasanya pemarah,” jelas Aziz.
“Bah, sukur tah sudah tu. Bah maritah, ikut kereta ku saja,” jemput Ahmad.
*******************************************************************************************
Kita sering lupa untuk menganugerahkan diri kita sendiri. Cuba kita renung kembali semasa kita mula-mula mengambil langkah pertama untuk merubah dan menyusun semula hidup kita supaya menjadi lebih produktif, berkesan dan sempurna. Kita melalui pelbagai rintangan dan halangan. Kita juga dapati bahawa setelah ia menjadi sebahagian daripada hidup kita, ia menjadi lebih mudah. Namun begitu, ada saja perubahan dan perkara yang perlu dilakukan untuk memperbaiki diri kita sendiri.
Setiap kali kita menetapkan suatu matlamat baru, kita mula mengatur langkah setiap hari supaya secara berdikit-dikit matlamat kita itu akan tercapai dalam masa yang telah ditetapkan. Pencapaian matlamat itu memerlukan tenaga, usaha dan keinginan untuk kita mengatur dan menyusun hidup kita. Ini adalah suatu tugas yang berat yang perlu ditampung oleh tubuh badan kita.
Untuk mengubah sesuatu tabiat, sikap dan corak hidup pula memerlukan komitmen yang mantap. Oleh itu adalah wajar bagi kita menganugerahkan diri kita dengan sesuatu bagi setiap pencapaian yang kita perolehi di setiap langkah yang kita lalui. Anugerah diri bolehlah dibuat dengan membeli pakaian baru, bercuti untuk merehatkan tubuh badan dan minda ataupun belanja diri makan di tempat yang baik.
Sama ada kita sedar ataupun tidak, amalan seperti ini dapat memperkukuhkan tabiat baik dan menjadikan berfikiran positif sebahagian daripada hidup anda. Kita juga perlu belajar dan mengakui bahawa apabila kita bijak menguruskan diri sendiri, segala urusan menjadi lebih mudah dikendalikan. Kita merasakan diri kita lebih tenang. Kita juga mula menghargai setiap pencapaian kita. Kita juga belajar menghargai proses yang dilalui bagi pencapaian tersebut.
Cubalah kita luangkan sedikit masa untuk berseronok dengan diri sendiri. Kita terlalu sibuk menguruskan diri orang lain sehingga kita terlupa untuk menguruskan diri sendiri. Kita terlalu sibuk untuk menganugerahkan diri orang lain sehingga kita lupa untuk menganugerahkan diri kita sendiri.
Cuba anda tanyakan pada diri anda bilakah kali terakhir anda membeli hadiah hari jadi anda sendiri. Mungkin tidak pernah. Ingat diri anda perlu dianugerahkan juga. Anda perlu memberi hadiah pada diri anda untuk mengucapkan syukur kerana anda berjaya menyambut hari jadi anda.
Disediakan oleh:
AHMAD SYAFIQ BIN HAJI OSMAN.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
like hehehe
ReplyDelete