Contoh mudah, ‘gagal dalam peperiksaan’. Ia juga suatu ujian bukan? Tetapi kita dapat lihat dalam realiti kehidupan ini, tindak balas atau ‘respon’ manusia dalam menerima kegagalan itu adalah berbeza. Mungkin boleh kita bahagikan kepada tiga personality manusia. Pertama,individu yang sentiasa berfikiran ‘optimis’, menerima kegagalan itu sebagai jalan untuk lebih berjaya. Kedua,individu yang ‘pesimis’,menerima kegagalan itu sebagai penghalang kejayaan dan merasa tidak yakin untuk bangkit kembali. Manakala individu ketiga ialah mereka yang tidak merasakan apa-apa dari kegagalan itu dan tidak pula mempunyai usaha untuk lebih berjaya. Individu kategori ketiga ini adalah yang teburuk daripada dua individu yang awal, kerana mereka ‘gagal’ dan tidak tahu pula bahawa mereka dalam ‘kegagalan’.
KEBAIKAN ITU JUGA CABARAN, UJIAN DAN BALA.
Ramai orang menyangka ujian,cabaran atau bala itu adalah dalam bentuk keburukan atau sesuatu yang kurang disenangi. Ya! Itu memang benar.Cuma kita tidak harus lupa bahawa segala bentuk kebaiakn juga merupakan suatu ujian dan bala. Kurang percaya? Di sini saya bawakan ayat Al Quran yang menegaskan kenyataan yang bawakan.
Allah ta’ala berfirman di dalam surah Al A’raf, ayat 168 :
وقطعنهم أمما منهم الصلحون ومنهم دون ذلك وبلونهم بالحسنت والسيئات لعلهم يرجعون
Yang kira-kira bermaksud: Dan Kami pecah-pecahkan mereka (kaum Yahudi itu) berpuak-puak (yang bertaburan di merata-rata) dunia ini. di antara mereka ada Yang soleh dan di antaranya juga Yang tidak demikian. dan Kami uji mereka Dengan nikmat pemberian Yang baik-baik dan bala bencana Yang buruk, supaya mereka kembali (bertaubat).Manakala di dalam surah Al Anbiyaa, ayat 35, Allah ta’ala berfirman :
كل نفس ذائقة الموت ونبلوكم بالشر والخير فتنة وإلينا ترجعون
Yang kira-kira bermaksud: Tiap-tiap diri akan merasai mati, dan Kami menguji kamu Dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan.Dua ayat di atas jelas menegaskan bahawa di dalam kebaikan itu juga terdapat ujian dan bala. Kita tidak harus leka dengan urusan dunia. Kita tidak perlu terlalu gembira dengan banyaknya harta. Tidak perlu terlalu berbangga dengan ramainya zuriat. Kerana harta dan anak-pinak itu boleh saja akan mengheret kita hampir kepada azab Allah ta’ala. Harta kekayaan dan anak pinak itu juga suatu fitnah dan kita perlu bijak mengaturnya.
Allah ta’ala berfirman di dalam surah Al Anfaal, ayat 28 :
واعلموا أنما أموالكم وأولدكم فثنة وأن الله عنده أجر عظيم
Yang kira-kira bermaksud: Dan ketahuilah Bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan Sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala Yang besar.ANTARA ORANG KAYA YANG BERSYUKUR DAN ORANG MISKIN YANG SABAR.
Sekarang kita mengetahui bahawa cabaran,ujian dan bala itu tidak terhad kepada sesuatu yang kurang disenangi seperti kefakiran,kemiskinan,kegagalan dan sebagainya.Tetapi juga meliputi segala bentuk kebaikan yang disenangi seperti kekayaan,darjat dan ramainya anak.
Setelah itu, timbul pula persoalan,siapakah yang lebih baik,orang kaya yang bersyukur atau orang miskin yang sabar? Ujian dan bala apakah yang lebih berat,menerima kekayaan atau menghadapi kemiskinan?Apakah jawapan saudara/i mengenai persoalan di atas?Mungkin ada yang terus saja mengatakan, “tentulah orang yang miskin”. Mungkin saja di antara saudara/i akan berfikir sejenak dan mengatakan “orang kaya lebih baik, kerana ujian berupa kekayaan lebih berat daripada kemiskinan”. Itu semua terpulanglah kepada saudara/i untuk memikirkannya.Masing-masing di antara kita mempunyai jawapan dan alasan-alasan tersendiri.
Tetapi bagi saya secara peribadi, tidak adil untuk kita mengatakan “menjadi orang kaya itu lebih baik dan ujian berupa harta kekayaan itu lebih berat daripada kemiskinan” sedangkan kita tidak pernah mengalami peritnya kemiskinan dan kefaqiran itu. Begitu juga sebaliknya, tidak adil untuk kita mengatakan “kemiskinan itu lebih susah ujiannya daripada kekayaan” sedangkan kita belum pernah mengalami beban ujian atau bala dalam bentuk nikmat kekayaan itu.
Cuma apa yang pasti adalah kemiskinan dan kefaqiran itu suatu ujian dan bala,begitu juga halnya dengan kekayaan. Ia berupa ujian dan bala tanpa kita sedari. Manakala persoalan mengenai siapakah yang lebih berat dalam menerima ujian itu? Merekalah para nabi,kemudian para wali Allah dan begitulah seterusnya mengikut darjat seseorang itu di sisi tuhannya. Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bersabda :
( أكثر الناس بلاء الأنبيا ثم الأولياء ثم الأمثل فالأمثل )
Al Jame’ As Sager J-1,Ms-41H.R Al Bukhari, At Turmizi, Ibnu Majah dan Ahmad dalam musnadnya.
CABARAN MEMUSUHI IBLIS
Iblis ialah makhluk yang kufur dan inkar dengan perintah tuhannya untuk sujud kepada Nabi Adam alaihissalam. Iblis telah menghasut Adam alaihissalam dan pasangannya untuk memakan buah yang terlarang. Dengan hasutan itu,mereka berdua pun memakannya dan dipindahkan ke dunia. Tetapi Adam dan Hawa segera bertaubat,dan Allah ta’ala menerima taubat mereka. Begitulah sejarah permusuhan antara Bani Adam dan Iblis.
Jelas kepada kita bahawa iblis,syaitan dan pengikutnya itu adalah musuh Bani Adam sehinggalah hari qiamat. Dalam surah Shaad, ayat 79-82, Allah ta’ala berfirman :
قال رب فانظرنى إلى يوم يبعثون . قال فإنك من المنظرين . إلى يوم الوقت المعلوم . قال فبعزتك لأغوينهم أجمعين
Iblis dan syaitan itu musuh kita yang nyata. Mereka sentiasa menghasut kita untuk berbuat segala macam maksiat. Tetapi bagaimanakah cara untuk kita sentiasa berjaya dalam mengatasi cabaran ini? Pada ayat 83 surah shad dijelaskan mereka yang berjaya dari hasutan syaitan itu.
Allah ta’ala berfirman :
إلا عبادك منهم المخلصون
Yang kira-kira bermaksud: "kecuali hamba-hambaMu di antara zuriat-zuriat Adam itu Yang dibersihkan dari sebarang kederhakaan dan penyelewengan ".Mereka itulah orang-orang yang diikhlaskan hatinya beribadah hanya kerana Allah ta’ala semata-mata.Marilah kita sama-sama mengikhlaskan diri dalam segala tindak tanduk kita sebagai seorang Islam agar kita berjaya dalam menghadapi segala ujian, sama ada ujian dalam bentuk kekurangan mahupun “bala” dalam segala bentuk kesempurnaan.
Disediakan oleh:
AWG MUHAMMAD NAQIB BIN HJ AWANG
No comments:
Post a Comment