Tuesday, April 6, 2010

Hikmah.

Pada zaman dahulu, ada seorang Putera Raja yang hidupnya penuh dengan kemewahan dan kesenangan. Semua keperluan dan kehendak Putera Raja tersebut akan dipenuhi oleh pekerja-pekerja istana. Oleh kerana terlalu leka dengan kemewahan yang melimpah ruah itu, dia tidak pernah melakukan sebarang pekerjaan seumur hidupnya. Apabila tiba waktu makan, pekerja-pekerja istana akan menyuapkan makanan untuknya. Apabila tiba waktu untuk menukar pakaian, pekerja-pekerja istana akan menyarungkan pakaian untuknya, dan begitulah kehidupan Putera Raja tersebut sehinggakan dia menjadi seorang yang pemalas.

Pada suatu hari, Bendahara bertemu dengan Putera Raja dan menegur sikap Putera Raja yang malas itu, ‘’Tuanku, apakah Tuanku tidak pernah terfikir untuk hidup berdikari? Apabila ayahanda Tuanku sudah tidak ada lagi, Tuanku lah yang akan menggantikan tempat baginda, dan Tuanku lah yang akan memimpin rakyat negara ini.’’

Putera Raja berasa sangat tercabar dan marah dengan kata-kata bendahara tadi.

‘’Bendahara! Berani kamu berkata sedemikian terhadap beta. Beta akan tunjukkan kepada kamu semua bahawa beta juga boleh berdikari. Mulai hari ini, beta tidak mahu ada pekerja-pekerja istana menyediakan semua keperluan beta!’’.

Bermulalah kehidupan putera raja tanpa dibantu oleh pelayan-pelayan istana. Putera raja mencuba berbagai-bagai pekerjaan, bermula dari bab menyediakan pakaiannya sehinggalah bab memasak. Pada suatu hari, ketika putera raja sedang belajar cara-cara memegang pisau, tiba-tiba jarinya terpotong. Seluruh penghuni-penghuni istana berasa risau atas kecederaan putera raja kesayangan mereka itu. Apabila hal ini diketahui oleh Raja, baginda berasa murka dan memanggil Bendahara untuk dihukum.

‘‘Bendahara, kamu telah menyebabkan anakanda beta cedera. Oleh itu kamu beta hukum setimpal dengan apa yang telah kamu lakukan’’. Raja tersebut memerintahkan supaya Bendahara tersebut dikurung di dalam penjara istana selama beberapa tahun.

Pada suatu hari, putera raja dan beberapa orang pembantunya pergi ke hutan untuk berburu. Setelah lama berjalan di dalam hutan, mereka masih belum mendapat apa-apa hasil. Akhirnya putera raja berasa letih dan membuat keputusan mencari tempat untuk berehat. Ketika mereka sedang asyik berehat, tiba-tiba mereka diserang oleh sekumpulan orang asli.

‘‘Wahai kawan-kawan semua, hari ini kita makan besar!!’’ jerit salah seorang daripada mereka. Orang-orang asli itu bersorak meraikan habuan yang mereka dapat. Putera raja dan pembantu-pembantunya ditangkap dan diikat.

Sebelum orang-orang asli tersebut menjamu selera mereka, mereka terlebih dahulu memeriksa dan memerhatikan anggota tubuh badan pembantu-pembantu putera raja dari hujung kepala hingga ke hujung rambut, dan kesemua pembantu-pembantunya dibawa masuk ke dalam pondok orang-orang asli untuk disembelih. Putera raja menggeletar apabila mendengar jeritan pembantu-pembantunya. Ketika putera raja sedang melayan perasaan takutnya, dia dihampiri oleh ketua orang asli tersebut untuk diperiksa. Seperti yang dilakukan terhadap mangsa-mangsa sebelumnya, Putera Raja juga diperiksa dari hujung kepala sampai kehujung kaki, tetapi apabila sampai di bahagian jari Putera Raja yang terpotong itu, ketua orang-orang asli berasa jijik dan seperti hilang selera.

‘‘Pergi kamu! Manusia yang tidak sempurna!’’ katanya dengan nada yang marah.
Putera Raja terus berlari tanpa menoleh kebelakang dan berasa lega kerana terlepas daripada pengalaman yang dahsyat itu.

Apabila Putera Raja sampai di istana, putera raja terus berjumpa dengan ayahandanya. ‘‘Ayahanda tolong bebaskan Bendahara sekarang juga. Anakanda ingin berjumpa dengannya,’’ Kata putera raja dengan nada yang termengah-mengah. Raja berasa hairan dengan tingkah laku anaknya dan bertanya apa yang telah terjadi. Putera raja menceritakan segala yang telah dialaminya dan raja bersetuju untuk mengeluarkan Bendahara daripada penjara.

‘‘Bendahara, beta ingin mengucapkan terima kasih kepada kamu. Kamu telah menyelamatkan nyawa Beta. Kalau bukan kerana kamu, Beta mungkin sudah tidak ada lagi di sini, terima kasih Bendahara,’’ Putera Raja tersebut mengucapkan terima kasih terhadap Bendahara dan Bendahara pun dibebaskan daripada hukumannya.

Moral yang kita dapat daripada kisah ini ialah setiap yang berlaku, ada hikmah disebaliknya. Seperti putera raja tadi, kalau bukan kerana jarinya yang terpotong, pasti dia akan menerima nasib yang malang.

Dalam kehidupan kita sebagai manusia, kita akan sering diuji dengan pelbagai cubaan. Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala yang kira-kira bermaksud:
Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu cubaan sebagaimana halnya orang-orang yang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan dengan bermacam-macam cubaan. Sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: “Bilakah datangnya pertolongan Allah?”. Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.” (Surah Al-Baqarah ayat 214).

Manusia sering kali merasakan sesuatu itu tidak seharusnya terjadi keatas mereka, dan enggan menerima kenyataan malah ada yang sanggup melakukan apa saja untuk mencapai kemahuannya. Sesungguhnya Allah tidak menciptakan makhluknya sia-sia, setiap kejadian pasti akan ada hikmah disebaliknya.

Jika Allah mengambil sesuatu yang baik daripada kita, bukan bermakna kita akan kehilangan sesuatu itu untuk selamanya, akan tetapi Allah telah menggantikan kita dengan sesuatu yang lebih baik, jika ianya tidak nampak ketika di dunia maka nantikanlah ia di akhirat.

Disediakan oleh: Rafidah bte Hj Amidon.

No comments:

Post a Comment

Powered By Blogger