وقضى ربك ألا تعبدوا إلا إياه و بالوٰلدين إحسنا إما يبلغن عندك الكبر أحدهما أو كلاهما فلا تقل لهما أف ولا تنهرهما و قل لهما قولا كريما * واخفض لهما جناح الذل من الرحمة وقل رب ارحمهما كما ربياني صغيرا
Maksudnya : Dan tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharanmu,maka jangan sesekali kamu mengatakan kepada keduanya ‘ah’ dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka kata-kata mulia. Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah “ Wahai tuhanku,kasihilah mereka berdua, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku waktu kecil”. (Surah al-Isra ayat 23 & 24)
Inilah salah satu amanat Allah Subhanahu Wa Ta’ala kepada setiap hamba-hambanya yang bergelar anak. Anak juga adalah titipan dari-Nya dan ibu bapa melimpahkan kasih sayang dan mengasuhnya bagai menatang minyak yang panas. Setiap ibu bapa memang mengimpikan dan mengharapkan anak-anak mereka mempunyai akhlak yang baik , mendengar kata, tidak melawan ibu bapa dan taat akan suruhan agama kerana doa seorang anak yang soleh itu tidak akan terputus di alam barzakh kelak.
Adalah kewajipan seorang anak memenuhi keperluan kedua-dua ibu bapanya terutamanya dalam usia yang lanjut. Mereka tidak mengharapkan harta benda dan kemewahan daripada anak-anak, sebaliknya hanya kasih sayang dan perhatian daripada anak-anak.
Dalam Islam memang dituntut untuk kita berbuat baik pada ibu bapa kerana merekalah yang telah membesarkan kita,memberikan kasih sayang yang tiada tandingannya, menyediakan makan minum kita, memberikan pendidikan yang cukup dan segalanya. Malahan,meraka sanggup bersengkang mata demi anak-anak mereka.
Dari Abdullah bin Mas’ud : Aku bertanya kepada Rasulullah tentang amal-amal yang paling utama dan dicintai Allah? Rasulullah menjawab : Pertama, solat pada waktunya. Kedua,berbakti kepada ibu bapa. Ketiga, jihad di jalan Allah. ( Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim )
Ibu bapa adalah orang yang telah mengurus kita mulai dari kandungan dengan beban yang sangat berat dan susah payah. Demikian juga ketika melahirkan, ibu kita mempertaruhkan nyawanya antara hidup dan mati. Ketika kita lahir, ibulah yang menyusui kita dan membersihkan kita. Semua dilakukan oleh ibu kita, bukan orang lain. Dan ibu setia menemani ketika kita terjaga dan menangis baik di pagi hari, siang mahupun malam. Apabila kita sakit, tidak ada yang bisa menangis melainkan ibu kita. Sehingga kalau ditawarkan antara hidup dan mati, ibu akan memilih mati agar kita hidup. Begitu besarnya pengorbanan ibu bapa terhadap anaknya.
Sepertimana firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala yang bermaksud :
“Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya, ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan ( dari awal mengandung hingga akhir menyusunya ) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun (dengan yang demikian ) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu dan ( ingatlah ) kepada Aku-lah jua tempat kembali untuk menerima balasan” ( Surah Al-Isra ayat 14 )
Di antara ciri-ciri anak yang ta’at kepada kedua ibu bapanya :
• Mempunyai iman dan aqidah yang sempurna.
• Rajin beribadat kepada Allah subhanahu wa ta’ala dan berdoa kepada-Nya.
• Mempunyai kesedaran dan tanggungjawab beragama.
• Menunjukkan akhlak dan adab sopan yang baik ketika berhadapan dengan kedua-dua orang tuanya walaupun ibu bapanya musyrik.
• Tidak wajar anak bercekak pinggang apabila bercakap dengan orang tuanya kerana ini akan menyinggung perasaan mereka.
• Tidak boleh menyusahkan hati ibu bapa dengan apa jua cara sekali pun.
• Jangan sekali-kali menderhaka kepada mereka, kerana derhaka kepada kedua ibubapa adalah suatu dosa besar. Anak yang tidak mendapat keredhaan ibubapanya akan tidak mendapat keredhaan Allah dan ibadatnya tidak diterima Allah swt.
• Selalu memohon keampunan dari kedua-dua ibu bapa.
• Sentiasa mendoakan kesejahteraan ibu bapanya di dunia dan akhirat sama ada yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia.
• Berlembut-lembut dalam berkata-kata.
• Jangan sesekali berdendam dengan ibu bapa kerana perbuatan berdendam ini samalah seperti menderhaka kepada kedua-dua ibu bapa.
• Menjauhi perbuatan yang mungkar dan bersabar dalam mengharungi kehidupan sehari-hari.
• Jangan sesekali dipikulkan mereka dengan azab dosa yang kita buat sedangkan mereka sudah membesarkan kita penuh dengan kasih sayang.
• Apabila ibubapa meninggal dunia, anak hendaklah membanyakkan berdoa untuk keselamatan dan mendapat rahmat dari Allah. Semua kebajikan yang dilakukan akan diterima berterusan pahalanya untuk mereka di sisi Allah swt. Inilah satu kaedah yang berterusan yang menghubungkan antara anak dan ibubapa walaupun jasad mereka tidak ada lagi.
"Tiada cinta di hatinya hanyalah cinta Allah,
Ada rasa rindu hanyalah untuk Rasulullah,
Kasih dan sayang hanyalah pada ibu ayah,
Hormat menghormati sesama insan berbudi,
Guru dan teman-teman sentiasa dikasihi,
Itulah di antara sifat anak yang soleh"
Disediakan oleh:
HAJAH NURZAFIRAH BTE HJ KADIR
assalam...saya amat berminat dgn blog ni....saya mohon copy ya hajah...minta halal ilmunya...
ReplyDelete