Wednesday, December 22, 2010

Ranjau Kehidupan


Di bumi ciptaan Allah yang indah ini, ada bermacam-macam perkara yang dapat kita perhatikan dan tadabbur padanya; daripada ciptaan langit, malam dan siang kepada ciptaan manusia, lelaki dan perempuan dan seterusnya kepada binatang dan tumbuh-tumbuhan yang pelbagai. Begitulah indahnya ciptaan Allah bagi orang yang mahu berfikir.



Tetapi di sebalik semua ini Allah menyelitkan rahsia di sebaliknya. Ketahuilah bahawa Allah menjadikan sesuatu itu hanya untuk menyembah dan berzikir kepadaNya.



Bukan itu sahaja bahkan Allah menurunkan sebuah kemanisan yang terkesan sekali dalam hidup kita selamanya iaitu ujian. Ujian perlu ada dalam hidup kita. Ini kerana untuk mencapai sesuatu yang baik pada akhirnya perlulah ada ujian dan dugaan untuk sampai kepadanya. Seperti peperiksaan, ujiannya kita harus membaca dan mengulangkaji dengan lebih mantap untuk mendapat kejayaan, bukan begitu?



Allah berfirman ;


‘Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?’ (Ankabut:2)



Jelas di sini bahawa hidup bukan hanya sekadar untuk ‘enjoy’ atau dalam erti kata lain bersuka ria tapi bersedialah menghadapi segala rintangan dan dugaan yang Allah beri dengan sabar dan solat.



Allah berfirman ;


‘Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk’ (2:45)



Ayat di atas jelas menerangkan bahawa Allah memerintahkan kita untuk mendirikan solat dan sentiasa sabar dalam mengharungi kehidupan kita seharian. Selain dari itu perbanyakkanlah amal kebaikan. Orang selalu berkata, berbuat baik kepada semua orang insyaAllah orang akan berbuat baik kepada kita. Tetapi jika orang buat jahat dan menimbulkan kemarahan kita, maka balaslah dengan kebaikan. InsyaAllah kita akan mndapat rahmat dariNya jua. Kerana menahan kemarahan itu di galakkan sekali dalam islam.



Allah berfirman ;


“…dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik; Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka - dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah - dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). Orang-orang yang demikian sifatnya, balasannya ialah keampunan dari Tuhan mereka, dan Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalam; dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) orang-orang yang beramal" ( Ali Imran 134-136)



Saya percaya semua orang pernah menghadapi dan pernah marah akan tetapi ingatlah akan ganjaran Allah bagi orang yang selalu memaafkan dan menahan kemarahannya.



Di antara ujian yang lain pula ialah kekurangan harta. Sebenarnya apa yang sudah kita miliki kini lebih dari apa yang kita inginkan, bukan begitu? Tapi memang sebagai manusia kita sentiasa tidak merasa cukup dengan apa yang ada. Kemudian bila ditimpa kesusahan kita selalu merungut. Kenapa begitu? Sehingga ada yang di dalam hatinya merasa iri hati akan kesenangan orang lain. Bukankah Allah berfirman ;



“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar” (Al Baqarah :155 )



Serta percayalah bahawa apa yang berlaku itu adalah semua perancangan Allah. Dan ketahuilah Allah sudah pun menjamin rezeki kita sebelum kita menjejakkan kaki kedunia. Seperti dalam firmanNya:



“Dan tiadalah sesuatupun dari makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya”(Hud :6 )



Kesimpulannya di mana sahaja kita berada ujian pasti akan menimpa kita walaupun kita berbuat sebaik mana untuk kehidupan ini. Ingatlah bahawa ujian itu menandakan Allah ingat kepada kita dan masih menunjukkan hidayahNya kepada kita. Percayalah pintu taubat akan sentiasa terbuka, maka bersegeralah ke arahnya untuk beroleh keampunan Rabbul ‘Izzati.



Allah berfirman :


“… dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.” (At Talaq: 2-3)



Ayat ini menunjukkan bahawa hanya dengan bertaqwa kepada Allah,Allah akan tunjukkan baginya jalan keluar. Dengan ketaqwaaan juga kita akan menemukan kemanisan iman dan selalu bersabar akan dugaan dan ujian yang ditimpakan. InsyaAllah.



"Tidak ada sesuatu kesusahan yang dtimpakn di bumi dan tidak juga yang menimpa diri kmu,melainkan telah sedia ada di dalam Kitab sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya mengadakan yang demikian adalah mudah bagi Allah. (Kamu diberitahu tentang itu)supaya kamu tidak brsedih hati akan apa yang telah luput daripada kamu & tidak pula bergembira dengan apa yang diberikan kepada kamu. Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri"(Al Hadid :22-23)



Disediakan oleh:

Zahirah bte Hambali

No comments:

Post a Comment

Powered By Blogger