Thursday, December 16, 2010

Pengurusan Masa


PENGURUSAN MASA


Masa adalah sangat penting bagi manusia untuk melakukan segala urusan harian mereka. Namun begitu, manusia sering kali lalai dari memanfaatkan masa mereka dengan sebaik-baiknya. Ini disebabkan sebahagian daripada mereka kurang terdidik dalam menguruskan masa mereka dengan lebih efektif dan sebahagian yang lain pula terlalai dengan godaan dunia. Begitulah juga dengan pelajar-pelajar universiti yang belajar serta menetap di luar negara, terlalu banyak perkara-perkara baru yang membuatkan mereka mensia-siakan sebahagian besar dari waktu mereka. Oleh yang demikian, perlu bagi seseorang pelajar itu untuk mempelajari cara-cara yang baik untuk membahagikan masa mereka dengan bijak dan teratur. Berikut adalah beberapa tips-tips penting di dalam menguruskan masa dengan baik:


1. Kalendar.

Adalah mustahil bagi seseorang itu untuk menyimpan semua maklumat-maklumat mengenai perkara-perkara yang perlu diselesaikan di dalam kepalanya. Oleh itu, kita perlukan satu sistem yang dapat menyimpan semua tarikh-tarikh luput tugasan yang diberikan dan perkara-perkara yang lain. Sistem yang dimaksudkan adalah seperti kalendar (harian, mingguan atau bulanan), PDA, Microsoft Outlook dan yang seumpamanya. Setelah awda diberikan tugasan dan tarikh untuk menyiapkannya, rekod terus ke dalam kalendar awda dan amalkan mencek kalendar awda dengan kerap, supaya awda sedar akan tugasan-tugasan mana yang perlu disiapkan. Pastikan yang awda telah merekod jadual waktu kuliah serta segala tugasan-tugasan yang lain seperti perjumpaan, majlis dan sebagainya supaya awda senang mengatur masa awda dengan lebih baik dan demi untuk mengelakkan bertembung dengan tugasan penting yang lain.

Jika awda sudah mengetahui tempoh yang diberikan bagi setiap tugasan, mudahlah bagi awda untuk membahagikan masa awda untuk menyelesaikan setiap tugasan yang diberikan. Satu tugasan tidak akan memerlukan masa yang sama dengan tugasan yang lain, oleh itu, berwaspadalah dalam membahagikan masa-masa awda mengikut selera awda.



2. Pengaturan masa.

Menghabiskan sesuatu buku secara sekaligus bukanlah satu langkah yang bijak kerana langkah tersebut boleh menyebabkan awda kekurangan waktu untuk menyelesaikan tugasan-tugasan awda yang lain. Fikir dahulu tempoh masa bagi setiap tugasan yang diberikan, kemudian tentukan berapa lama masa yang perlu digunakan bagi setiap tugasan ke dalam kalendar awda. Tambah masa sekiranya sesetengah tugasan memakan masa yang lebih lama dari yang awda jangkakan.


Jika awda menentukan untuk belajar beberapa subjek atau mentelaah beberapa buku dalam sehari, pastikan awda sertakan waktu rehat 10-15 minit antara dua subjek atau setiap satu jam bagi memastikan otak awda tidak terlebih proses maklumat baru. Ini juga membolehkan otak berfungsi secara efisien dalam menyimpan maklumat baru dalam jangka masa yang panjang. Belajar berterusan akan membuatkan pembelajaran awda kurang efektif dan mengundang stress belajar. Oleh itu, seimbangkan waktu rehat dengan waktu belajar supaya awda tidak membazir masa terhadap pembelajaran yang tidak berkualiti.



3. Memberi Keutamaan.

Jika awda perlu menyiapkan tugasan yang banyak dalam satu masa, awda perlu meletakkan prioriti dan meluangkan lebih masa pada sesuatu tugasan dari tugasan yang lain. Sekiranya subjek A memerlukan banyak masa untuk memahami isi kandungan bukunya dari subjek B, maka luangkanlah lebih masa dan dahulukan subjek A dari subjek B. Menetapkan prioriti bukan sahaja terbatas antara subjek-subjek atau tugasan-tugasan sahaja, bahkan aktiviti-aktiviti juga perlu diberi prioriti supaya awda tidak terlebih komited terhadap sesuatu perkara.



4. Elakkan diri dari melengah-lengahkan sesuatu kerja.

Berehat adalah perkara yang baik, akan tetapi berlengah-lengah itu tidak baik. Terdapat perbezaan yang ketara sakali antara dua perkara di atas. Berlengah-lengah itu punca pembaziran masa. Amat susah sekali untuk mengelakkan diri dari semua jenis perlengahan, tapi jika awda ingin menggunakan masa awda dengan baik, awda harus cuba sedaya upaya untuk mengelakkan darinya sebanyak yang awda mampu. Mengikuti jadual secara jujur juga dapat membantu awda dari membazir masa serta mendisiplinkan diri awda supaya lebih menepati masa dalam setiap pekerjaan.



5. Elakkan diri dari segala jenis penggangguan.

Di zaman yang moden ini, banyak teknologi-teknologi baru sudah tercipta seperti telefon bimbit dan komputer riba. Remaja-remaja sekarang pula kerap sekali ber-SMS antara satu sama lain dan bermain permainan video sehinggakan ketika belajar pun mereka sering kali terganggu oleh perkara tersebut. Sebaiknya, ketika awda belajar di rumah awda, jauhkan segala jenis gangguan-gangguan dari tempat awda belajar.



6. Tanggungjawab di tangan awda sendiri.

Belajar di universiti tidaklah sama dengan belajar di sekolah menengah. Di universiti, tiada siapa yang akan menguruskan masa awda. Awda seorang sahaja yang bertanggungjawab ke atas penggunaan masa awda sendiri. Tiada juga yang akan mengarah awda untuk membuat sesuatu perkara. Awda harus membuat inisiatif sendiri untuk menyiapkan segala tugasan yang diberi dan mengurus diri awda sendiri.


Pengaturan masa memerlukan masa untuk awda memahirkannya. Janganlah berputus asa jika awda gagal mengendalikan masa awda dengan baik pada peringkat awal. Dengan izin Allah, awda akan dapat membiasakan diri dalam pengurusan masa setelah beberapa cubaan dengan hati yang tabah.



Sumber rujukan:

www.suite101.com


www.studygs.net


Ditulis oleh: Safli Hassuwadi bin haji Suhaili

No comments:

Post a Comment

Powered By Blogger