Tuesday, December 13, 2011

RESEPI HIDUP.


 Kita sebagai hamba Allah yang lemah seringkali menghadapi bermacam-macam masalah; keluarga, kewangan, pekerjaan, pengurusan masa dan lain-lain lagi.Namun masalah yang jarang kita peduli dan  sering kita pandang remeh ialah masalah kelalaian.Juga seringkali kita gelar kealpaan dan kelekaan, kelalaian adalah sebuah masalah yang harus kita tangani dengan segera kerana ia boleh membawa banyak kerugian dalam kehidupan beragama sebagai seorang hamba Allah, khalifah yang sepatutnya memimpin isi bumi dengan kebijaksanaan dan keadilan.

Apakah contoh kelalaian itu?? Kita sebagai individu-individu yang hidup di dalam zaman yang serba moden ini, sering kali disogok dengan kecanggihan dan teknologi yang berkembang pesat mengikut peredaran masa.Komputer, telefon bimbit, iPad, iPod, permainan-permainan komputer, Internet adalah contoh-contoh anasir dalam kehidupan moden yang selalu melalaikan jika kita gunakan dengan cara dan tujuan yang salah. Bagaimana ini boleh menjadi kelalaian kepada kita?? Bangun pagi yang sepatutnya kita mulakan dengan ucapan syukur kepada Allah yang masih memberikan nafas untuk hidup di muka bumi ini, kita mulakan dengan bertasbih dengan telefon bimbit mahupun komputer di dini hari. Membuang masa di pusat-pusat mebeli-belah dan membazir wang pada perkara-perkara yang tidak berfaedah sehingga lupa akan waktu-waktu solat. Bukankah ini lalai namanya?? Mengutamakan hiburan untuk diri sendiri berbanding menghadiri kelas-kelas ilmu yang bermanfaat dan fokus pada laman-laman web untuk berinteraksi dengan rakan-rakan secara berpanjangan, bukankan ini juga lalai namanya??

Perkara-perkara inilah yang harus kita ambil perhatian. Sama-samalah kita bermuhasabah diri untuk bangun dari kelalaian ini, bangkit dari segala kealpaan dan menjauhi kelekaan. Apa  tidaknya, kelalaian yang sebegini rupalah yang menggembira syaitan la’natullah dan dalam masa yang sama, mengundang kemurkaan Allah.

Salah satu cara untuk memperbaiki masalah kelalaian ini adalah dengan menentukan matlamat hidup. Harus kita tanyakan diri sendiri, apakan tujuan Allah menciptakan kita di muka bumi ini?? Tujuan ciptaan kita sebagai hamba adalah satu-satunya untuk menyembah Allah yang  Maha Esa. Keberkatan, kejayaan dan kebahagiaan dunia dan akhirat adalah apa yang harus kita kejar pada hakikatnya. Bagaimanakah kita mengejar keberkatan, kejayaan dan kegembiraan ini?? Ibadah adalah jawapan yang paling tepat dan dekat. Solat, puasa, menuntut ilmu, menghormati kedua orang tua dan menyayangi orang-orang di sekeliling kita dan yang paling penting di antara semuanya,,mentaati perintah Allah dan Rasulnya dengan cara mengikuti syariat yang telah Allah tetapkan dan sunnah yang Rasulullah SAW telah ajarkan.

Hidup seseorang yang tidak ada matlamat adalah ibarat sebuah robot yang telah diprogram untuk mengikut apa yang diinginkan oleh orang lain; pemikiran dibiarkan tidak berkembang sementara perbuatan hanya mengikut arahan. Ada juga insan yang memiliki matlamat jangka masa pendek. Seperti contoh insan yang bercita-cita untuk berjaya dalan pelajaran dan memiliki kerjaya yang bagus untuk menjamin keselesaan hidup. Namun usaha untuk meperbaiki diri terhenti apabila sahaja cita-cita dan matlamatnya tercapai. Persoalannya, adakah keberkatan, kejayaan dan kegembiraan yang hakiki telah diperolehi??  Tepuk dada tanya iman, sudahkan ada cita-cita dan matlamat kita untuk mencapai keselesaan Akhirat??

Satu daripada perkataan-perkataan azimat ialah 'USAHA'. Apa dia usaha? Usaha ialah kita mengerjakan sesuatu perkara sesuai dengan keinginan kita. Bayangkan saja kita sudah mula berusaha pada saat janin lagi kerana diantara begitu banyak sel kita terpilih untuk lahir melihat dunia dan seterusnya menjadi khalifah di atasnya. Tanpa usaha kita tidak akan berjaya. Seterusnya berpindah pada saat kita dikandungkan. Kita berusaha untuk bertahan hidup ketika berada di dalam kandungan ibu kita. Begitulah seterusnya sampai pada saat kita lahir, menjadi bayi dan kita mula belajar secara perlahan-perlahan. Pada saat kita mula mencuba berjalan kita jatuh namun kerana keinginan kita untuk mampu berjalan sendiri kita mencuba dan terus mencuba sampai pada akhirnya kita berjaya. Jadi Allah menjadikan fitrah manusia itu berusaha. Jika kita ingin lulus kita belajar bersungguh-sungguh. jika kita ingin menang sesuatu pertandingan kita berusaha habis-habisan. Jika kita ingin kaya kita rajin bekerja. Begitulah seterusnya kerana semuanya terletak di tangan kita selebihnya biar takdir Allah yang menentukan. Oleh itu tiada alasan untuk tidak berusaha dan berdoalah kerana doa dan usaha saling menguatkan dan ingatlah bahawa doa merupakan senjata bagi orang islam.

Di dalam usaha yang ikhlas dan gigih terkandung berkat. Berkat; sebuah istilah umum yang selalu kita dengar, susah untuk kita lihat malah pada sebahagian waktu, tidak kita fahami dengan baik. Akan tetapi, berkat yang susah untuk kita lihat inilah yang sebenarnya sangat memberi kesan yang mendalam di dalam hidup seseorang. Al-Quran sendiri ada menyebutkan mengenai berkat iaitu pada surah Saba ayat 18:

{{وَجَعَلْنَا بَيْنَهُمْ وَبَيْنَ الْقُرَى الَّتِي بَارَكْنَا فِيهَا قُرًى ظَاهِرَةً وَقَدَّرْنَا فِيهَا السَّيْرَ سِيرُوا فِيهَا لَيَالِيَ وَأَيَّامًا آمِنِين }}
18. Dan kami jadikan antara mereka dan antara negeri-negeri yang Kami limpahkan berkat kepadanya, beberapa negeri yang berdekatan dan Kami tetapkan antara negeri-negeri itu (jarak-jarak) perjalanan. Berjalanlah kamu di kota-kota itu pada malam dan siang hari dengan aman .(QS.34:18)

Saya datangkan sebuah contoh; sebuah cerita yang saya dengar dari seorang guru. Guru ini telah menceritakan yang pada suata ketika bila mana beliau menuntut ilmu di salah sebuah negara-negara bumi Anbiyaa’, beliau pada ketika itu telah menjaga seorang kawan yang sedang sakit. Namun pada masa yang sama adalah musim peperiksaan di mana guru tersebut telah mementingkan menolong dan menjaga sahabatnya bebanding membaca dan menghafal pelajarannya. Guru tersebut merasa terlalu risau atas sebab kurangannya  hafalan beliau pada ketika itu, hanya tawakkal menjadi sandaran. Namun alangkah terkejutnya guru tersebut, tatkakla keputusan peperiksaan dikeluarkan, beliau telah berjaya lulus dalam subjek yang mana beliau telah abaikan hafalannya sedikit demi menjaga sahabat yang sedang sakit. Maka di sini nampaklah wujudnya berkat dalam menolong insan yang memerlukan pertolongan.

Begitu juga dengan berkat daripada ibu-bapa. Jasa dan budi baik mereka takkan terbalas. Jadi hanya dengan menjadi anak yang soleh-solehah, berbuat bakti kepada keduanya insya Allah berkatnya akan dapat dirasa. Kemudian berkat dalam mencari ilmu. Kadang kita tidak faham sesuatu maddah itu waktu pertama kali menjejak kaki ke kuliah namun kerana adanya berkat dan adanya niat untuk menuntut ilmu dengan ikhlas segalanya dipermudahkan. Seterusnya berkat guru. Ilmu dan guru sangat berkait rapat. Oleh itu ianya juga sangat penting kerana guru ialah penyambung atau waris para anbiya.'العلماء ورثة الانبياء '. Yang paling utama kita hidup untuk mencari berkat dan keredhaan dari Allah Taala. Apa guna mencari redha manusia andai Pencipta manusia tidak redha? Oleh itu sama-samalah kita muhasabah diri mencari berkat dan redhaNYA kerana itu perlu dicari dan bukan datang sendiri. Bak kata pepatah 'Yang bulat takkan datang bergolek, yang pipih takkan terbang melayang”.

Disediakan oleh :                                                
Auni Raqinah binti Haji Abdul Rajak 
Hazimah binti Baha
Norsyaheerah binti Mohamad              

No comments:

Post a Comment

Powered By Blogger