Sunday, July 25, 2010

Berazam Menjadi Ahli Al-Quran.

بِسْمِ اللَّـهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ
فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّـهِ إِنَّ اللَّـهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ

Tafsirannya : “. . . Kemudian apabila kamu telah berazam, maka bertawakallah kepada Allah.
Sesungguhnya Allah Menyukai orang-orang yang bertawakkal”
(Ali-‘Imran : 159)

Al-Quran adalah kalamullah yang diturunkan oleh Allah Ta’ala kepada Nabi yang terakhir iaitu Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam sebagai salah satu rahmat dan juga merupakan “hadiah” yang dikurniakan oleh Allah kepada Baginda dan juga umatnya. Ianya diturunkan melalui perantaraan Malaikat Jibrail di dalam Bahasa Arab sepertimana Firman Allah didalam surah Asy-Syu’araa’ ayat 192-195 yang berbunyi :

وَإِنَّهُ لَتَنزِيلُ رَبِّ الْعَالَمِينَ {192} نَزَلَ بِهِ الرُّوحُ اْلأَمِينُ {193} عَلَى قَلْبِكَ لِتَكُونَ مِنَ الْمُنذِرِينَ {194} بِلِسَانٍ عَرَبِيٍّ مُّبِينٍ
Tafsirannya : “ Dan sesungguhnya Al-Quran itu adalah diturunkan oleh Allah Tuhan sekalian alam * Ia dibawa turun oleh Malaikat Jibril yang amanah * Ke dalam hatimu supaya engkau (wahai Muhammad) menjadi seorang dari pemberi-pemberi ajaran dan amaran (kepada umat manusia) * (Ia diturunkan) dengan bahasa Arab yang fasih serta terang nyata *”

Al-Quran juga menjadi sumber ilmu yang tidak ada keraguan lagi padanya. Al-Quran diturunkan untuk menjadi pedoman bagi manusia yang hidup di atas muka bumi ini. Ianya juga lengkap dengan undang-undang yang benar dan sesuai untuk mengatur kehidupan manusia sepanjang zaman. Al-Quran adalah kitab yang penuh hikmah dan pengajaran yang telah dijanjikan oleh Allah bahawa ia akan dipelihara dari di ubah atau ditambah atau dikurangi. Oleh itu segala sesuatu yang ada berkaitan dengan Al-Quran maka ianya akan menjadi mulia dan berharga mulai dari membacanya,mendengarnya,menghafalnya, mendalami isi dan kandungannya serta mengajarkannya kepada orang lain. Bagi sesiapa yang mempercayai Al-Quran, maka akan bertambahlah cintanya kepada Allah, cinta untuk membacanya, cinta untuk mendengarnya dan juga cinta untuk mempelajari serta memahami isi kandungannya.

Setiap Mukmin yakin bahawa dengan membaca Al-Quran saja sudah termasuk dalam amal yang sangat mulia dan akan mendapat pahala yang berlipat ganda disebabkan apa yang dibacanya itu adalah kitab suci kalam Allah. Al-Quran adalah sebaik-baik bacaan bagi orang mukmin baik semasa senang mahupun semasa susah, di kala gembira mahupun sedih. Malah dengan membaca Al-Quran juga bukan sahaja menjadi ibadah bahkan ianya merupakan ubat dan penawar bagi orang yang tidak tenteram jiwanya sepertimana firman Allah dalam surah Fatir ayat 34 yang berbunyi :

وَقَالُوا الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَذْهَبَ عَنَّا الْحَزَنَ إِنَّ رَبَّنَا لَغَفُورٌ شَكُورٌ
Tafsirannya : “Segala puji bagi Allah yang telah menghilangkan dukacita dari kami. Sesungguhnya Tuhan Kami benar-benar Maha Pengampun Lagi Maha Mensyukuri*”

Keutamaan Membaca Al-Quran:

Mengenai keutamaan membaca Al-Quran, kita wajib percaya bahawa Al-Quran itu sendiri mempunyai berbagai-bagai hikmah dan keistimewaan baik yang tersurat mahupun yang tersirat diantaranya seperti Firman Allah di dalam surah Fatir ayat 29 yang berbunyi :

إِنَّ الَّذِينَ يَتْلُونَ كِتَابَ اللَّـهِ وَأَقَامُوا الصَّلَاةَ وَأَنفَقُوا مِمَّا رَزَقْنَاهُمْ سِرًّا وَعَلَانِيَةً يَرْجُونَ تِجَارَةً لَّن تَبُورَ
Tafsirnya: “Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca Al-Quran membaca kitab Allah dan tetap mendirikan solat serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka secara sembunyi atau secara terang-terang, mereka (dengan amalan yang demikian) mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian”

Firman-Nya lagi dalam surah Al-Maa’idah ayat 16 yang bermaksud :

يَهْدِي بِهِ اللهُ مَنِ اتَّبَعَ رِضْوَانَهُ سُبُلَ السَّلاَمْ وَيُخْرِجُهُم مِّنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ بِإِذْنِهِ وَيَهْدِيهِمْ إِلَى صِرَاطٍ مُّسْتَقِيمٍ

Tafsirannya : “Dengan (Al-Quran) itu Allah menunjukkan jalan-jalan keselamatan dan kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut keredhaan-Nya, dan (dengannya) Tuhan keluarkan mereka dari gelap gelita (kufur) kepada cahaya (iman) yang terang-benderang dengan izin-Nya, dan (dengannya) Tuhan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus”

Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim, Rasulullah bersabda yang bermaksud :

“Tiada hasad melainkan pada dua perkara : Lelaki yang diberi Allah Kitab Suci Al-Quran(menghafalnya), lalu dibacanya siang dan malam, dan orang yang dianugerahi Allah kekayaan harta, lalu pada siang dan malam kekayaan itu digunakannya untuk segala sesuatu yang diredhai Allah”

Di dalam hadis yang lain pula yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim, Rasulullah menyatakan tentang kelebihan martabat dan keutamaan orang yang membaca Al-Quran yang maksudnya berbunyi :

"Perumpamaan orang Mukmin yang membaca Al-Quran, adalah seperti bunga utrujjah, baunya harum dan rasanya lazat. Dan orang Mukmin yang tidak membaca Al-Quran, adalah seperti buah kurma, baunya tidak begitu harum, tapi manis rasanya. Manakala orang munafiq yang membaca Al-Quran ibarat sekuntum bunga, berbau harum, tetapi pahit rasanya. Dan orang munafiq yang tidak membaca Al-Quran, ia tak ubah seperti buah hanzalah, tidak berbau dan rasanya pahit sekali."

Manakala dalam sebuah hadis yang lain, Rasulullah ada menerangkan bagaimana besarnya rahmat Allah terhadap orang-orang yang membaca Al-Quran tidak kira di rumah,masjid, surau dan lain-lain. Hal ini dikuatkan oleh sebah hadis yang masyhur lagi sahih yang ertinya berbunyi :

“… Tidaklah sesuatu kaum berkumpul di salah satu rumah Allah, mereka membaca dan mempelajari kitabullah kecuali akan turun kepada mereka ketenangan,mereka dinaungi oleh rahmat Allah, para Malaikat mengelilingi mereka dan Allah menyebut-nyebut mereka di hadapan para Malaikat yang ada dekat-Nya” (Riwayat Muslim dari Abu Hurairah)

Melalui ayat-ayat Al-Quran dan hadis di atas tadi, maka amat jelaslah bahawa membaca Al-Quran itu termasuk dalam ibadah, amal soleh dan memberi rahmat bagi yang melakukannya, memberi cahaya kedalam hati yang membacanya sehingga terang-benderang dan juga memberi cahaya kepada keluarga yang membaca Al-Quran di dalam rumah sepertimana hadis yang riwayatkan oleh Baihaqi dari Anas Rasulullah bersabda yang bermaksud :

“Hendaklah kamu memberi nur (cahaya) kepada rumah tangga kamu dengan solat dan membaca Al-Quran”

Mengenai dengan pahala membaca Al-Quran pula, Rasulullah ada bersabda yang diriwayatkan oleh Tirmizi dari Ibn Mas’ud yang bermaksud :

“Barangsiapa yang membaca satu huruf dari Kitab Allah (Al-Quran), maka baginya satu kebajikan dan satu kebajikan itu boleh berganda menjadi sepuluh sepertinya. Aku tidak berkata Alif Lam Mim satu huruf tetapi alif satu huruf, lam satu huruf dan mim satu huruf.”

Memang jelas sekali dengan membaca Al-Quran sahaja sudah membolehkan seseorang itu menjadi jutawaan dari segi pahala seperti hadis yang telah disebutkan sebentar tadi, bahkan kekayaan itu bukan kita saja yang dapat memperolehinya bahkan kedua ibu-bapa kita juga akan memperolehinya dan mereka itu akan diberi layanan istimewa di Akhirat kelak. Adakah kamu tidak percaya? Cuba kita perhatikan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud, Imam Ahmad dan Imam Hakim dari Mu’az bin ‘Anas, Rasulullah bersabda yang bermaksud :

“Barangsiapa yang membaca Al-Quran dan mengkhatamkannya serta beramal dengan isi Al-Quran, dia akan memakaikan kedua ibu-bapa nya mahkota pada Hari Kiamat kelak yang mana cahaya mahkota itu lebih baik dari cahaya bumi semasa kamu berada di dunia…”

Adakah kita tidak pernah terfikir langsung untuk memberikan keistimewaan tersebut kepada kedua ibu-bapa kita pada hari Akhirat kelak yang mana mereka telahpun bersusah payah menjaga, mendidik dan membesarkan kita sejak kita masih kecil lagi. Apalah jasa kita jika hendak dibandingkan dengan jasa mereka berdua yang telah bersusah payah demi masa depan kita ini dan sesungguhnya kita tidak dapat menandingi akan pengorbanan yang telah mereka curahkan itu..

وَقُل رَّبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا
“… Wahai Tuhan ku, cucurilah rahmat kepada mereka berdua (ibu-bapa) sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil*”
( Al-Israa’ : 24 )

Mendengar Bacaan Al-Quran:

Di dalam Islam, bukan membaca Al-Quran saja yang menjadi ibadah dan amal yang mendapat pahala dan rahmat, bahkan dengan mendengar bacaan Al-Quran juga kita akan memperoleh ganjaran pahala dari Allah.

Firman Allah :
وَإِذَا قُرِئَ الْقُرْآنُ فَاسْتَمِعُوا لَهُ وَأَنصِتُوا لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

Tafsirannya : “Dan apabila Al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akannya serta diamlah supaya
kamu beroleh rahmat*” ( Al-A’raaf : 204 )

Dengan mendengar bacaan Al-Quran dengan baik, kita dapat menghibur perasaan kita yang sedih, menenangkan jiwa yang tidak tentu arah dan melembutkan hati yang keras serta mendapat petunjuk. Itulah yang dimaksudkan dengan rahmat Allah yang Allah berikan kepada mereka yang mendengarkan bacaan Al-Quran dengan baik. Itulah mukjizat Al-Quran yang mana kita tidak akan pernah berasa bosan membaca dan mendengarnya. Malah semakin sering kita membaca dan mendengarnya, semakin terpikatlah hati kita kepada Al-Quran. Dan bilamana Al-Quran itu dibaca dengan lidah yang fasih, dengan suara yang baik dan merdu akan memberi kesan kepada orang yang mendengarnya dan dengan itu akan bertambah kuatlah akan imannya.

Mengenai dengan bagaimana keadaan orang mukmin apabila dibacakan kepada mereka akan ayat-ayat Al-Quran ada digambarkan oleh Firman Allah dalam surah Al-Anfal ayat 2 yang berbunyi :

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ اللَّـهُ وَجِلَتْ قُلُوبُهُمْ وَإِذَا تُلِيَتْ عَلَيْهِمْ آيَاتُهُ زَادَتْهُمْ إِيمَانًا وَعَلَىٰ رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ

Tafsirannya : “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah mereka yang apabila disebut nama Allah maka gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya maka bertambahlah iman mereka(kerana-Nya) dan kepada Tuhan lah mereka bertawakkal.”

Larangan Dan Ingatan Bagi Yang Meninggalkan Al-Quran:

Bagi mereka yang tidak mahu membaca ataupun mendengar Al-Quran, sesungguhnya mereka itu telah berada di lembah yang gelap dan sesat. Mereka itu sentiasa berada di jalan yang salah yang penuh dengan kesusahan dan kesulitan sepertimana dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Tirmizi yang mana Rasulullah telah bersabda yang bermaksud :

“Telah aku tinggalkan kepadamu perkara yang apabila kamu tetap berpegang teguh kepadanya, kamu tidak akan sesat selama-lamanya, iaitu Kitab (Al-Quran) dan sunnah Rasulnya. ”

Dalam hadis yang lain diriwayatkan oleh Muslim dari Abu Hurairah, Rasulullah bersabda yang bermaksud :

“Janganlah jadikan rumah-rumah kamu seperti kuburan, sesungguhnya Syaitan lari dari rumah yang di baca dalamnya Surah Al-Baqarah”

Dalam sebuah hadis, mengenai dengan orang yang meninggalkan Al-Quran selepas apa yang dihafalnya, Rasulullah bersabda yang bermaksud :

“Telah ditunjukkan kepadaku akan dosa-dosa umatku yang mana aku tidak pernah melihat dosa yang lebih besar dari Surah atau ayat-ayat dari Al-Quran yang dihafal oleh seorang lelaki kemudian dia melupakannya.”

Manakala dalam sebuah hadis yang lain pula yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud dari Sa’ad bin Ubadah, Rasulullah bersabda yang bermaksud :

“ Barangsiapa yang membaca(menghafal) Al-Quran kemudian dia melupakannya, dia akan menemui Allah pada Hari Kiamat dalam keadaan tidak bertangan.”


Kelebihan Membaca Dan Mendengar Al-Quran:

- Menjadi nasihat,pengajaran,penawar,petunjuk dan rahmat.. Firman Allah :

يَا أَيُّهَا النَّاسُ قَدْ جَاءَتْكُم مَّوْعِظَةٌ مِّن رَّبِّكُمْ وَشِفَاءٌ لِّمَا فِي الصُّدُورِ وَهُدًى وَرَحْمَةٌ لِّلْمُؤْمِنِينَ

Tafsirannya : “Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan serta rahmat bagi orang-orang ygn beriman*” ( Yunus : 57 )

- Dari Abu Umamah ia berkata : Aku mendengar Rasulullah bersabda yang bermaksud : “Bacalah Al-Quran sebab di hari Kiamat kelak ia akan memberi syafaat bagi pembacanya.” (Imam Muslim)

- Dari Usman ia berkata : Rasulullah bersabda yang bermaksud : “Sebaik-baik kamu adalah yang mempelajari Al-Quran dan mengajarkannya.” (Imam Bukhari)

- Dari Umar bin Khattab bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud : “Sesungguhnya dengan kitab ini Allah mengangkat satu kaum dan dengannya pula Allah merendahkan kaum yang lain.“ (Imam Muslim)

- Dari Ali bin Abi Talib, Rasulullah bersabda yang bermaksud : “Barangsiapa yang membaca Al-Quran dan beramal dengan apa yang dibacanya, serta menghalalkan apa yang dihalalkan dan mengharamkan apa yang diharamkan, Allah akan memasukkannya ke dalam Syurga dan dia akan dapat memberi syafaat kepada sepuluh orang dari keluarganya walaupun wajib ke atas semua mereka itu Neraka.” (Imam Tirmizi, Imam Ibn Majah,Imam Ahmad)

Kesimpulan:

Sebagai penutup, saya ingin menasihati diri saya sendiri dan anda semua supaya sama-samalah kita berazam dan bertekad untuk mendekati diri kita dengan Al-Quran yang mana Al-Quran itu sendiri boleh menjamin kehidupan kita di Akhirat kelak. Mengapa kita tidak pernah terfikir untuk menjadi ahli Al-Quran yang mana ianya telah jelas nampak dan mampu membahagiakan kita nanti. Mengapakah pangkat dunia orang begitu berlumba-lumba untuk mendapatkannya sedangkan pangkat Akhirat di pandang remeh? Semoga kita menjadi orang yang sentiasa ingat kepada-Nya tidak kira di mana jua kita berada seperti firman Allah dalam surah 'Ali ’Imran ayat 191 yang berbunyi :

الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللَّـهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمْ
Tafsirnya: “ (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring…”

Apabila kita membaca Al-Quran,teruskanlah membacanya. Jika sudah khatam, ulangi lagi sehingga ke akhir hayat. Manakala bagi mereka yang menghafal, teruskanlah menghafal supaya hafalan itu tidak akan dilupakan. Manakala bagi yang baru belajar, teruskanlah belajar, jangan berhenti sehingga pandai dan jika sudah pandai teruskanlah membacanya. Bagi yang belum belajar pula, cepat-cepatlah belajar dan janganlah menangguh-nangguhkannya kerana sesal kemudian sudah tidak ada gunanya lagi. Dan yang paling penting sekali luruskanlah niat dengan Al-Quran kerana Allah dan elakkanlah dari bersikap riak,kerana orang, minta dipuji dan ataupun semata-mata mahu mendapatkan title “Al-Hafiz”.

Diriwayatkan dari Imam Nasaie, Imam Tirmizi dan Imam Ibnu Hibban dan Imam Muslim dari Sulaiman bin Yassar daripada Abu Hurairah berkata : Rasulullah bersabda :

Sesungguhnya manusia yang mula-mula dibicarakan pada Hari Kiamat adalah seorang lelaki yang syahid. Dia didatangkan dan Allah mengingatkan kembali nikmat dan kelebihan yang telah Allah berikan. Dia mengakuinya. Kemudian Allah bertanya : Apa yang engkau beramal kerana Allah terhadap nikmat-nikmat ini?” Lelaki itu menjawab : “Aku telah berperang kerana-Mu sehingga aku mati syahid.” Allah menjawab : “Engkau bohong kerana engkau berjuang kerana supaya engkau dikatakan berani, sesungguhnya manusia telah memuji keberanianmu.” Kemudian diperintahkan agar di seret mukanya sehingga di campak ke dalam api neraka.

Didatangkan pula seorang lelaki yang di dunia telah belajar banyak ilmu, mengajarnya dan membaca Al-Quran. Allah telah mengingatkan kembali nikmat dan kelebihan yang Allah berikan dan dia mengakui nikmat tersebut. Lalu Allah bertanya : “Apa yang engkau telah beramal kerana Allah dengan nikmat-nikmat ini?” Lelaki itu menjawab : “Aku telah belajar,mengajarnya dan membaca Al-Quran kerana-Mu” Allah menjawab : “Engkau bohong kerana engkau belajar supaya dikatakan orang yang berilmu dan kamu membaca (AL-Quran) supaya kamu digelar sebagai seorang Qari’, sesungguhnya kamu telah dipanggil sebagai orang berilmu dan Qari’.” Kemudian diperintahkan agar diseret atas mukanya sehingga di campak ke dalam api neraka.

Didatangkan pula seorang lelaki yang Allah telah luaskan rezekinya dan memberinya berbagai jenis harta. Allah telah mengingatkan kembali nikmat dan kelebihan yang telah Dia berikan kepadanya dan dia mengakui nikmat tersebut. Lalu Allah bertanya : “Apa yang telah engkau lakukan dengan nikmat-nikmat tersebut demi kerana Allah?” Lelaki itu menjawab : “Aku telah membelanjakan harta untuk setiap jalan kebaikan kerana-Mu” Allah menjawab : “Engkau bohong kerana engkau berbuat sedemikian adalah supaya engkau dikatakan sebagai seorang yang pemurah dan sesungguhnya engkau telah dikatakan pemurah.” Kemudian diperintahkan agar dia diseret atas mukanya sehingga di campak ke dalam api neraka.”

Semoga kita tidak termasuk ke dalam golongan yang tiga yang mana perbuatan ketiga-tiga golongan ini merupakan sia-sia belaka dan tidak mendatangkan manfaat kepada mereka di Hari Akhirat. Moga kita ini termasuk ke dalam golongan orang yang ikhlas dalam membuat amal ibadah kerana-Nya, menyuruh berbuat perkara yang baik dan menegah dari yang salah serta termasuk dalam golongan ahli Allah yang sentiasa mendampingi Al-Quran.

كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ

Tafsirnya: “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, kerana kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji)…”
(Ali-‘Imran : 110)
اهل القران هم اهل الله وخاصته
النساءى و ابن ماجه و الحاكم من حديث انس


Disediakan oleh:
HAJI MUHAMMAD SAFWAN ALWAN BIN HAJI AMINUDDIN
Powered By Blogger