Monday, April 26, 2010

3 Amalan Yang Tidak Terputus Pahalanya

عن أبي هريرة رضى الله عنه أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال : إذا مات ابن آدم انقطع عمله إلا من ثلاث: صدقة جارية أو علم ينتفع يه أو ولد صالح يدعو له
Maksud hadis :

Daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘Anhu katanya,, Rasulullah SAW telah bersabda : Jika anak Adam meninggal, maka amalnya terputus kecuali dari tiga perkara, sedekah jariyah (wakaf), ilmu yang bermanfaat, dan anak soleh yang berdoa kepadanya.'' (HR Muslim).

PENJELASAN HADITH :
Sesungguhnya kita diciptakan oleh Allah mempunyai matlamat yang tertentu iaitu agar kita sentiasa mengabdikan diri kepada Allah serta mentaatinya dengan melakukan perkara yang disuruh dan meninggalkan perkara yang dilarang.

Firman Allah Ta’ala dalam surah Adz –Dzaariyaat ayat 56 , berbunyi :

وما خلقت الجن والإنس إلا ليعبدون

Kira-kira maksudnya: “Dan tidaklah Aku menciptakan jin dan manusia melainkan untuk menyembah-Ku.”

Allah telah menjanjikan pahala bagi mereka yang sentiasa beriman dan bertakwa kepadanya sebagai jaminan untuk mencium bau syurga dan juga memberikan dosa dan api neraka kepada mereka yang mengkufuri perintahnya. Segala amalan kita didunia akan terputus apabila kita kembali menghadap ilahi. Namun terdapat 3 amalan sahaja yang masih dterima allah sebagai pahala kita di akhirat nanti meskipun kita sudah meninggalkan dunia fana ini. Amalan-amalan tersebut adalah:
1) amal jariyah
2) ilmu yang bermanfaat
3) anak soleh yang mendoakan ibu bapanya.

Di sini jelas menunjukkan kepada kita betapa tingginya nilai rahmat dan kasih Allah terhadap hambanya, memberikan peluang untuk memperolehi pahala walaupun kita sudah berada di alam barzakh. Sekarang terserahlah kepada kita untuk mengambil peluang keemasan ini selagi hayat masih ada.

AMAL JARIYAH

Amal jariyyah menurut bahasa ialah perbuatan yang baik.

Menurut istilah ulama syara’ amal jariyyah juga di sebut sebagai wakaf iaitu menahan sesuatu yang bolah dimanfaatkan bagi tujuan kemaslahatan serta kekal zatnya sebagai
( taqarrub) pendekatan diri terhadap Allah.

Hukum melakukannya adalah sunat.

Firman Allah Ta’ala yang berbunyi :

لن تنالوا البر حتى تنفقوا مما تحبون وما تنفقوا من شيء فإن الله به عليم

Yang kira-kira bermaksud : Kamu sekali-kali tidak sampai kepada kebajikan (yang sempurna), sebelum kamu menafkahkan sebahagian harta yang kamu cintai. Dan apa saja yang kamu nafkahkan, maka sesungguhnya Allah mengetahuinya. (Surah Ali ‘Imran, ayat 92)

Amal jariyah merupakan amalan yang terpuji disisi Allah antaranya ialah membangun masjid atau sekolah, mewakafkan kitab-kitab bermanfaat kepada masjid dan lain-lain lagi. Perkara ini ada disebutkan dalam hadith, riwayat Ibn Majah bahawa Rasulullah SAW bersabda yang kira-kira bermaksud:

''Sesungguhnya amal dan kebaikan yang terus mengiringi seseorang ketika meninggal dunia adalah ilmu yang bermanfaat, anak yang dididik agar menjadi orang shaleh, mewakafkan Al-Quran, masjid, membangun tempat penginapan bagi para musafir, membuat irigasi, dan bersedekah.'' (HR Ibn Majah).

Berikut disenaraikan antara fadilat-fadilat amal jariyyah berbentuk sedekah ialah :

1) Bersedekah merupakan jalan kepada pintu-pintu kebaikan dan menutup pintu-pintu kejahatan.
2) Ikhlasnya bersedekah dapat meringankan kesusahan seseorang.
3) Harta orang yang bersedekah tidak akan berkurangan malah ianya akan bertambah.
4) Dengan bersedekah, kita akan terhindar dari bala dan umur juga diberkati serta menjadi panjang.
5) Merahsiakan sedekah memadam kemurkaan Allah manakala sedekah secara terang-terangan pendinding api neraka.

Oleh itu, kita diseru agar sentiasa melakukan amal jariyah dengan penuh keikhlasan kerna ianya bukan sahaja memberikan maslahat kepada masyarakat amnya.Bahkan pahalanya akan sentiasa mengalir walaupun kita telah menghembuskan nafas terakhir. Maka tidak rugilah harta yang telah disedekahkan pada jalan Allah sesuai dengan firman Allah dalam surah Al-Baqarah, ayat 262 yang kira-kira bermaksud :

Orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang dinafkahkannya itu dengan menyebut-nyebut pemberiannya dan tidak menyakiti perasaan si penerima, mereka memperolehi pahala di sisi tuhan mereka. Tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak pula mereka bersedih hati.


Dan sabda nabi yang berbunyi :

لا تستحيوا من إعطاء القليل فإن الحرمان أقل منه
Maksudnya : Jangan kamu malu dengan pemberian yang sedikit kerana tidak memberi langsung lebih sedikit daripadanya.

ILMU YANG BERMANFAAT.

Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam telah bersabda:

Maksudnya: Sesiapa yang melalui jalan ke arah menuntut ilmu maka Allah mudahkan untuknya jalan ke syurga. (Hadith Riwayat Muslim)

Pepatah juga ada mengatakan:
Kerjakanlah amal ibadah seolah-olah kamu mati pada keesokan harinya dan tuntulah ilmu tu seolah kamu hidup seribu tahun lagi.

Menuntut ilmu adalah amat digalakkan tidak kiralah ilmu pengetahuan itu berbentuk keagamaan mahupun saintifik atau ekonomi. Apa jua ilmu bermanfaat yang telah kita pelajari sewajarnya kita aplikasikan dalam kehidupan seharian. Dan amat beruntung lagi jika ilmu sedemikian disebarkan dan diajarkan dengan meluasnya kepada orang ramai bersesuaian dengan sabda Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam :

بلغوا عني ولو ءاية
Yang kira-kira bermaksud : Sampaikanlah dariku walau sepotong ayat.


Diriwayatkan oleh al-Imam Ibnu Majah daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda:

"Pelajarilah oleh kamu ilmu faraidh itu, kerana ia adalah sebahagian daripada agama dan ia adalah setengah daripada ilmu. Ia juga adalah ilmu yang pertama dicabut daripada umatku"

Kedua-dua hadith di atas menuntut kita agar sentiasa mengajarkan ilmu yang dipelajari kepada yang jahil dan memerlukan kerana kelebihan menuntut ilmu dan mengajarkannya itu amat luas di sisi masyarakat dan juga disisi maha pencipta, Allah Subhanahu Wata’ala.

Sesungguhnya mereka yang berilmu dan menyembunyikannya adalah termasuk daripada orang-orang yang rugi. Hidup mereka cuma setakat mendapat kepuasan diri sendiri dan pahalanya hanya setakat didunia sahaja. Begitu juga mereka yang luas ilmunya akan tetapi kurang mempunyai adab dalam menuntut ilmu seperti melawan guru bermegah-megah dan merasakan ilmu yang diperolehinya sudah cukup hebat, ilmu yang mereka perolehi hanyalah sia-sia dan tidak mendapat berkat dari yang Maha Esa. Oleh yang demikian, tuntutlah ilmu dengan penuh adab dan rasa rendah diri kerana sesungguhnya ilmu itu adalah milik Allah Subhanahu Wata’ala.

Firman Allah Subhanahu Wataala :

قال فإن اتبعتنى فلا تسألنى عن شيء حتى أحدث لك منه ذكرا
Ertinya : Berkata Khidr (selaku guru), jika kamu ingin ikutiku maka jangan kamu bertanya apa-apa sehinggalah aku menceritakannya kepadamu." ( Al-Kahfi, ayat 70)

Ayat ini tidak bermaksud kita sebagai murid tidak boleh bertanya semasa waktu pembelajaran, namun adab yang dimaksudkan di sini hendaklah dengan cara meminta izin terlebih dahulu.

Hadith Riwayat Abu Daud dan at-Tirmidzi ada mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

"Sesiapa yang ditanya tentang ilmu lalu dia menyembunyikannya akan diikat mulutnya (meletakkan kekang di mulutnya seperti kuda) dengan kekang dari api neraka pada Hari Kiamat."

Berlainan dengan mereka yang ikhlas memberikan ilmu yang bermanfaat sebagai contoh pensyarah dan guru. Tidak terbatas hanya mengharapkan imbalan gaji yang diterima.Generasi ilmuan seperti ini perlulah mempunyai hati yang ikhlas demi mengharap redha dan berkat Allah dalam menjalani kehidupan. Dan ingatlah Allah Maha Mengetahui apa jua yang kita sembunyikan.

Di sebabkan nilai keikhlasan amalan seseorang dalam mengajarkan ilmu mereka inilah, Allah mengangkat darjat para ilmuan dikalangan para sahabat dan ulama dan menjanjikan pahala yang besar kepada kita baik semasa kita hidup ataupun telah meninggal dunia.

DOA ANAK YANG SOLEH.

Ibu bapa mempunyai amanah yang besar dalam mendidik anak-anak mereka.Jika baik tarbiyahnya maka solehlah anak tersebut namun jika sebaliknya, akan mendatangkan kerugian kepada diri mereka sendiri.

Diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari, dari Abu Hurairah radhiallahu 'anhu, Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda, maksudnya:

"Setiap anak dilahirkan atas fitrah, maka kedua ibu bapanyalah yang meyahudikannya atau menasranikannya atau memajusikannya".


Anak merupakan amanah Allah yang amat bernilai kepada kita bagi mencorak dan melahirkan generasi yang bakal menerajui dunia yang penuh pancaroba. Didikan agama yang betul adalah amat dititik beratkan. Insyaallah anak yang soleh, baik budi pekerti dan agamanya bukan sahaja menjadi harapan bangsa dan masyarakat Islam malah kepentingannya kembali kepada orang tuanya itu sendiri. Dengan ini, tidak rugilah mereka yang mempunyai anak yang soleh dan solehah kerna mereka lah yang akan sentiasa mendoakan orang tuanya setelah mereka meninggal dunia dan berikutan ini bertambahlah pahala orang tua tersebut hanya kerana sebuah doa dari anaknya.

PENGAJARAN YANG DAPAT KITA AMBIL DARI HADITH DI ATAS :

1) Islam menggalakkan hambanya agar sentiasa bersifat ikhlas dalam melakukan amalan-amalan yang terpuji.

2) Galakan terhadap semua umat islam agar menggunakan kesempatan hidupnya dengan melakukan 3 perkara tadi iaitu amal jariyah, ilmu yang bermanfaat dan doa anak yang soleh kerana pahala daripada melakukan amalan-amalan ini tidak akan putus sekalipun kita sudah tiada.

3) Seruan kepada kedua orang tua agar sentiasa menitikberatkan dalam mendidik anak-anak mereka dengan tarbiyah yang baik.

4) Amal jariyah seperti bersedekah mempunyai fadilat yang banyak sepertimana yang disebutkan didalam ayat-ayat al-quran dan hadith-hadith.

5) Ilmu yang berkat adalah bersumber dari keikhlasan, kecekalan hati dalam menimba ilmu pengetahuan disamping menjaga adab dan displin ketika belajar.


Disediakan oleh:
NORMASUZANAH BTE BADARUDIN

Sunday, April 11, 2010

Anugerahi Diri.

“Wang aji, kan kemana biskita?” teriak Aziz.

“Ne kan ke Excapade, kan menyushi,” jawab Ahmad.

“Oh, tiba-tiba jua kan menyushi ane. Ada papa kah?” tanya Aziz.

“Inda pulang ada papa. Aku kan belanja diri ku sendiri. Ngaleh nyamu bekeraja ane. Yatah diri ane mesti dibagi imbalan. Aku kan relax-relax dulu kan bagi rehat badan ku,” jelas Ahmad.

“Kan belanja diri mu sendiri? Cali jua kau ane, biasa urang yang belanja urang ane. Baru ku pernah mendangar urang belanja diri sendiri ane.”

“Nah, yatah tu nah Ziz. Hari-hari kau suruh tubuh badan mu bekeraja. Minda mu bekeraja. Tapi lupa kau kan belanja tubuhmu kalau kau bejaya dalam apa-apa. Kawan selalu tane ingat kan belanja, why not ketane belanja diri tane jua sekali-sekala. Lagi pun ada jua baiknya belanja diri sendiri ane, dapat meningkatkan motivasi dalam diri ketane.”

“Banar jua nyamu atu wang aji. Bah maritah kesana sama-sama. Aku kan belanja diri ku jua hari ane. Boss tadi puas hati dengan keraja ku minggu lapas. Puji-pujinya ku tadi. Atukan biasanya pemarah,” jelas Aziz.

“Bah, sukur tah sudah tu. Bah maritah, ikut kereta ku saja,” jemput Ahmad.

*******************************************************************************************
Kita sering lupa untuk menganugerahkan diri kita sendiri. Cuba kita renung kembali semasa kita mula-mula mengambil langkah pertama untuk merubah dan menyusun semula hidup kita supaya menjadi lebih produktif, berkesan dan sempurna. Kita melalui pelbagai rintangan dan halangan. Kita juga dapati bahawa setelah ia menjadi sebahagian daripada hidup kita, ia menjadi lebih mudah. Namun begitu, ada saja perubahan dan perkara yang perlu dilakukan untuk memperbaiki diri kita sendiri.

Setiap kali kita menetapkan suatu matlamat baru, kita mula mengatur langkah setiap hari supaya secara berdikit-dikit matlamat kita itu akan tercapai dalam masa yang telah ditetapkan. Pencapaian matlamat itu memerlukan tenaga, usaha dan keinginan untuk kita mengatur dan menyusun hidup kita. Ini adalah suatu tugas yang berat yang perlu ditampung oleh tubuh badan kita.

Untuk mengubah sesuatu tabiat, sikap dan corak hidup pula memerlukan komitmen yang mantap. Oleh itu adalah wajar bagi kita menganugerahkan diri kita dengan sesuatu bagi setiap pencapaian yang kita perolehi di setiap langkah yang kita lalui. Anugerah diri bolehlah dibuat dengan membeli pakaian baru, bercuti untuk merehatkan tubuh badan dan minda ataupun belanja diri makan di tempat yang baik.

Sama ada kita sedar ataupun tidak, amalan seperti ini dapat memperkukuhkan tabiat baik dan menjadikan berfikiran positif sebahagian daripada hidup anda. Kita juga perlu belajar dan mengakui bahawa apabila kita bijak menguruskan diri sendiri, segala urusan menjadi lebih mudah dikendalikan. Kita merasakan diri kita lebih tenang. Kita juga mula menghargai setiap pencapaian kita. Kita juga belajar menghargai proses yang dilalui bagi pencapaian tersebut.

Cubalah kita luangkan sedikit masa untuk berseronok dengan diri sendiri. Kita terlalu sibuk menguruskan diri orang lain sehingga kita terlupa untuk menguruskan diri sendiri. Kita terlalu sibuk untuk menganugerahkan diri orang lain sehingga kita lupa untuk menganugerahkan diri kita sendiri.

Cuba anda tanyakan pada diri anda bilakah kali terakhir anda membeli hadiah hari jadi anda sendiri. Mungkin tidak pernah. Ingat diri anda perlu dianugerahkan juga. Anda perlu memberi hadiah pada diri anda untuk mengucapkan syukur kerana anda berjaya menyambut hari jadi anda.

Disediakan oleh:
AHMAD SYAFIQ BIN HAJI OSMAN.

Anak Soleh Idaman Ibubapa.

وقضى ربك ألا تعبدوا إلا إياه و بالوٰلدين إحسنا إما يبلغن عندك الكبر أحدهما أو كلاهما فلا تقل لهما أف ولا تنهرهما و قل لهما قولا كريما * واخفض لهما جناح الذل من الرحمة وقل رب ارحمهما كما ربياني صغيرا

Maksudnya : Dan tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharanmu,maka jangan sesekali kamu mengatakan kepada keduanya ‘ah’ dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka kata-kata mulia. Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah “ Wahai tuhanku,kasihilah mereka berdua, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku waktu kecil”. (Surah al-Isra ayat 23 & 24)

Inilah salah satu amanat Allah Subhanahu Wa Ta’ala kepada setiap hamba-hambanya yang bergelar anak. Anak juga adalah titipan dari-Nya dan ibu bapa melimpahkan kasih sayang dan mengasuhnya bagai menatang minyak yang panas. Setiap ibu bapa memang mengimpikan dan mengharapkan anak-anak mereka mempunyai akhlak yang baik , mendengar kata, tidak melawan ibu bapa dan taat akan suruhan agama kerana doa seorang anak yang soleh itu tidak akan terputus di alam barzakh kelak.

Adalah kewajipan seorang anak memenuhi keperluan kedua-dua ibu bapanya terutamanya dalam usia yang lanjut. Mereka tidak mengharapkan harta benda dan kemewahan daripada anak-anak, sebaliknya hanya kasih sayang dan perhatian daripada anak-anak.

Dalam Islam memang dituntut untuk kita berbuat baik pada ibu bapa kerana merekalah yang telah membesarkan kita,memberikan kasih sayang yang tiada tandingannya, menyediakan makan minum kita, memberikan pendidikan yang cukup dan segalanya. Malahan,meraka sanggup bersengkang mata demi anak-anak mereka.

Dari Abdullah bin Mas’ud : Aku bertanya kepada Rasulullah tentang amal-amal yang paling utama dan dicintai Allah? Rasulullah menjawab : Pertama, solat pada waktunya. Kedua,berbakti kepada ibu bapa. Ketiga, jihad di jalan Allah. ( Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim )

Ibu bapa adalah orang yang telah mengurus kita mulai dari kandungan dengan beban yang sangat berat dan susah payah. Demikian juga ketika melahirkan, ibu kita mempertaruhkan nyawanya antara hidup dan mati. Ketika kita lahir, ibulah yang menyusui kita dan membersihkan kita. Semua dilakukan oleh ibu kita, bukan orang lain. Dan ibu setia menemani ketika kita terjaga dan menangis baik di pagi hari, siang mahupun malam. Apabila kita sakit, tidak ada yang bisa menangis melainkan ibu kita. Sehingga kalau ditawarkan antara hidup dan mati, ibu akan memilih mati agar kita hidup. Begitu besarnya pengorbanan ibu bapa terhadap anaknya.

Sepertimana firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala yang bermaksud :
“Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya, ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan ( dari awal mengandung hingga akhir menyusunya ) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun (dengan yang demikian ) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu dan ( ingatlah ) kepada Aku-lah jua tempat kembali untuk menerima balasan” ( Surah Al-Isra ayat 14 )

Di antara ciri-ciri anak yang ta’at kepada kedua ibu bapanya :
• Mempunyai iman dan aqidah yang sempurna.
• Rajin beribadat kepada Allah subhanahu wa ta’ala dan berdoa kepada-Nya.
• Mempunyai kesedaran dan tanggungjawab beragama.
• Menunjukkan akhlak dan adab sopan yang baik ketika berhadapan dengan kedua-dua orang tuanya walaupun ibu bapanya musyrik.
• Tidak wajar anak bercekak pinggang apabila bercakap dengan orang tuanya kerana ini akan menyinggung perasaan mereka.
• Tidak boleh menyusahkan hati ibu bapa dengan apa jua cara sekali pun.
• Jangan sekali-kali menderhaka kepada mereka, kerana derhaka kepada kedua ibubapa adalah suatu dosa besar. Anak yang tidak mendapat keredhaan ibubapanya akan tidak mendapat keredhaan Allah dan ibadatnya tidak diterima Allah swt.
• Selalu memohon keampunan dari kedua-dua ibu bapa.
• Sentiasa mendoakan kesejahteraan ibu bapanya di dunia dan akhirat sama ada yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia.
• Berlembut-lembut dalam berkata-kata.
• Jangan sesekali berdendam dengan ibu bapa kerana perbuatan berdendam ini samalah seperti menderhaka kepada kedua-dua ibu bapa.
• Menjauhi perbuatan yang mungkar dan bersabar dalam mengharungi kehidupan sehari-hari.
• Jangan sesekali dipikulkan mereka dengan azab dosa yang kita buat sedangkan mereka sudah membesarkan kita penuh dengan kasih sayang.
• Apabila ibubapa meninggal dunia, anak hendaklah membanyakkan berdoa untuk keselamatan dan mendapat rahmat dari Allah. Semua kebajikan yang dilakukan akan diterima berterusan pahalanya untuk mereka di sisi Allah swt. Inilah satu kaedah yang berterusan yang menghubungkan antara anak dan ibubapa walaupun jasad mereka tidak ada lagi.

"Tiada cinta di hatinya hanyalah cinta Allah,
Ada rasa rindu hanyalah untuk Rasulullah
,
Kasih dan sayang hanyalah pada ibu ayah,
Hormat menghormati sesama insan berbudi,

Guru dan teman-teman sentiasa dikasihi,
Itulah di antara sifat anak yang soleh
"


Disediakan oleh:
HAJAH NURZAFIRAH BTE HJ KADIR

Friday, April 9, 2010

Cabaran, Ujian dan Bala

Manusia telah hidup di dunia ini beribu-ribu tahun lamanya. Setiap seorang daripada anak adam itu tidak akan lari daripada ujian atau cabaran. Ujian,cabaran dan bala itu pula setimpal dengan keupayaan setiap individu yang menerimanya. Kita anak Adam,semuanya sama,akan sentiasa menghadapi ujian,cabaran dan bala. Apa yang berbeza hanyalah tindak balas setiap individu itu dalam menghadapi segala macam ujian yang diberikan.

Contoh mudah, ‘gagal dalam peperiksaan’. Ia juga suatu ujian bukan? Tetapi kita dapat lihat dalam realiti kehidupan ini, tindak balas atau ‘respon’ manusia dalam menerima kegagalan itu adalah berbeza. Mungkin boleh kita bahagikan kepada tiga personality manusia. Pertama,individu yang sentiasa berfikiran ‘optimis’, menerima kegagalan itu sebagai jalan untuk lebih berjaya. Kedua,individu yang ‘pesimis’,menerima kegagalan itu sebagai penghalang kejayaan dan merasa tidak yakin untuk bangkit kembali. Manakala individu ketiga ialah mereka yang tidak merasakan apa-apa dari kegagalan itu dan tidak pula mempunyai usaha untuk lebih berjaya. Individu kategori ketiga ini adalah yang teburuk daripada dua individu yang awal, kerana mereka ‘gagal’ dan tidak tahu pula bahawa mereka dalam ‘kegagalan’.

KEBAIKAN ITU JUGA CABARAN, UJIAN DAN BALA.

Ramai orang menyangka ujian,cabaran atau bala itu adalah dalam bentuk keburukan atau sesuatu yang kurang disenangi. Ya! Itu memang benar.Cuma kita tidak harus lupa bahawa segala bentuk kebaiakn juga merupakan suatu ujian dan bala. Kurang percaya? Di sini saya bawakan ayat Al Quran yang menegaskan kenyataan yang bawakan.

Allah ta’ala berfirman di dalam surah Al A’raf, ayat 168 :

وقطعنهم أمما منهم الصلحون ومنهم دون ذلك وبلونهم بالحسنت والسيئات لعلهم يرجعون
Yang kira-kira bermaksud: Dan Kami pecah-pecahkan mereka (kaum Yahudi itu) berpuak-puak (yang bertaburan di merata-rata) dunia ini. di antara mereka ada Yang soleh dan di antaranya juga Yang tidak demikian. dan Kami uji mereka Dengan nikmat pemberian Yang baik-baik dan bala bencana Yang buruk, supaya mereka kembali (bertaubat).

Manakala di dalam surah Al Anbiyaa, ayat 35, Allah ta’ala berfirman :

كل نفس ذائقة الموت ونبلوكم بالشر والخير فتنة وإلينا ترجعون
Yang kira-kira bermaksud: Tiap-tiap diri akan merasai mati, dan Kami menguji kamu Dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan.

Dua ayat di atas jelas menegaskan bahawa di dalam kebaikan itu juga terdapat ujian dan bala. Kita tidak harus leka dengan urusan dunia. Kita tidak perlu terlalu gembira dengan banyaknya harta. Tidak perlu terlalu berbangga dengan ramainya zuriat. Kerana harta dan anak-pinak itu boleh saja akan mengheret kita hampir kepada azab Allah ta’ala. Harta kekayaan dan anak pinak itu juga suatu fitnah dan kita perlu bijak mengaturnya.

Allah ta’ala berfirman di dalam surah Al Anfaal, ayat 28 :

واعلموا أنما أموالكم وأولدكم فثنة وأن الله عنده أجر عظيم
Yang kira-kira bermaksud: Dan ketahuilah Bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan Sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala Yang besar.


ANTARA ORANG KAYA YANG BERSYUKUR DAN ORANG MISKIN YANG SABAR.

Sekarang kita mengetahui bahawa cabaran,ujian dan bala itu tidak terhad kepada sesuatu yang kurang disenangi seperti kefakiran,kemiskinan,kegagalan dan sebagainya.Tetapi juga meliputi segala bentuk kebaikan yang disenangi seperti kekayaan,darjat dan ramainya anak.

Setelah itu, timbul pula persoalan,siapakah yang lebih baik,orang kaya yang bersyukur atau orang miskin yang sabar? Ujian dan bala apakah yang lebih berat,menerima kekayaan atau menghadapi kemiskinan?Apakah jawapan saudara/i mengenai persoalan di atas?Mungkin ada yang terus saja mengatakan, “tentulah orang yang miskin”. Mungkin saja di antara saudara/i akan berfikir sejenak dan mengatakan “orang kaya lebih baik, kerana ujian berupa kekayaan lebih berat daripada kemiskinan”. Itu semua terpulanglah kepada saudara/i untuk memikirkannya.Masing-masing di antara kita mempunyai jawapan dan alasan-alasan tersendiri.

Tetapi bagi saya secara peribadi, tidak adil untuk kita mengatakan “menjadi orang kaya itu lebih baik dan ujian berupa harta kekayaan itu lebih berat daripada kemiskinan” sedangkan kita tidak pernah mengalami peritnya kemiskinan dan kefaqiran itu. Begitu juga sebaliknya, tidak adil untuk kita mengatakan “kemiskinan itu lebih susah ujiannya daripada kekayaan” sedangkan kita belum pernah mengalami beban ujian atau bala dalam bentuk nikmat kekayaan itu.

Cuma apa yang pasti adalah kemiskinan dan kefaqiran itu suatu ujian dan bala,begitu juga halnya dengan kekayaan. Ia berupa ujian dan bala tanpa kita sedari. Manakala persoalan mengenai siapakah yang lebih berat dalam menerima ujian itu? Merekalah para nabi,kemudian para wali Allah dan begitulah seterusnya mengikut darjat seseorang itu di sisi tuhannya. Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bersabda :

( أكثر الناس بلاء الأنبيا ثم الأولياء ثم الأمثل فالأمثل )
Al Jame’ As Sager J-1,Ms-41
H.R Al Bukhari, At Turmizi, Ibnu Majah dan Ahmad dalam musnadnya.

CABARAN MEMUSUHI IBLIS
Iblis ialah makhluk yang kufur dan inkar dengan perintah tuhannya untuk sujud kepada Nabi Adam alaihissalam. Iblis telah menghasut Adam alaihissalam dan pasangannya untuk memakan buah yang terlarang. Dengan hasutan itu,mereka berdua pun memakannya dan dipindahkan ke dunia. Tetapi Adam dan Hawa segera bertaubat,dan Allah ta’ala menerima taubat mereka. Begitulah sejarah permusuhan antara Bani Adam dan Iblis.

Jelas kepada kita bahawa iblis,syaitan dan pengikutnya itu adalah musuh Bani Adam sehinggalah hari qiamat. Dalam surah Shaad, ayat 79-82, Allah ta’ala berfirman :

قال رب فانظرنى إلى يوم يبعثون . قال فإنك من المنظرين . إلى يوم الوقت المعلوم . قال فبعزتك لأغوينهم أجمعين

Iblis dan syaitan itu musuh kita yang nyata. Mereka sentiasa menghasut kita untuk berbuat segala macam maksiat. Tetapi bagaimanakah cara untuk kita sentiasa berjaya dalam mengatasi cabaran ini? Pada ayat 83 surah shad dijelaskan mereka yang berjaya dari hasutan syaitan itu.

Allah ta’ala berfirman :

إلا عبادك منهم المخلصون
Yang kira-kira bermaksud: "kecuali hamba-hambaMu di antara zuriat-zuriat Adam itu Yang dibersihkan dari sebarang kederhakaan dan penyelewengan ".

Mereka itulah orang-orang yang diikhlaskan hatinya beribadah hanya kerana Allah ta’ala semata-mata.Marilah kita sama-sama mengikhlaskan diri dalam segala tindak tanduk kita sebagai seorang Islam agar kita berjaya dalam menghadapi segala ujian, sama ada ujian dalam bentuk kekurangan mahupun “bala” dalam segala bentuk kesempurnaan.

Disediakan oleh:
AWG MUHAMMAD NAQIB BIN HJ AWANG

Tuesday, April 6, 2010

Hikmah.

Pada zaman dahulu, ada seorang Putera Raja yang hidupnya penuh dengan kemewahan dan kesenangan. Semua keperluan dan kehendak Putera Raja tersebut akan dipenuhi oleh pekerja-pekerja istana. Oleh kerana terlalu leka dengan kemewahan yang melimpah ruah itu, dia tidak pernah melakukan sebarang pekerjaan seumur hidupnya. Apabila tiba waktu makan, pekerja-pekerja istana akan menyuapkan makanan untuknya. Apabila tiba waktu untuk menukar pakaian, pekerja-pekerja istana akan menyarungkan pakaian untuknya, dan begitulah kehidupan Putera Raja tersebut sehinggakan dia menjadi seorang yang pemalas.

Pada suatu hari, Bendahara bertemu dengan Putera Raja dan menegur sikap Putera Raja yang malas itu, ‘’Tuanku, apakah Tuanku tidak pernah terfikir untuk hidup berdikari? Apabila ayahanda Tuanku sudah tidak ada lagi, Tuanku lah yang akan menggantikan tempat baginda, dan Tuanku lah yang akan memimpin rakyat negara ini.’’

Putera Raja berasa sangat tercabar dan marah dengan kata-kata bendahara tadi.

‘’Bendahara! Berani kamu berkata sedemikian terhadap beta. Beta akan tunjukkan kepada kamu semua bahawa beta juga boleh berdikari. Mulai hari ini, beta tidak mahu ada pekerja-pekerja istana menyediakan semua keperluan beta!’’.

Bermulalah kehidupan putera raja tanpa dibantu oleh pelayan-pelayan istana. Putera raja mencuba berbagai-bagai pekerjaan, bermula dari bab menyediakan pakaiannya sehinggalah bab memasak. Pada suatu hari, ketika putera raja sedang belajar cara-cara memegang pisau, tiba-tiba jarinya terpotong. Seluruh penghuni-penghuni istana berasa risau atas kecederaan putera raja kesayangan mereka itu. Apabila hal ini diketahui oleh Raja, baginda berasa murka dan memanggil Bendahara untuk dihukum.

‘‘Bendahara, kamu telah menyebabkan anakanda beta cedera. Oleh itu kamu beta hukum setimpal dengan apa yang telah kamu lakukan’’. Raja tersebut memerintahkan supaya Bendahara tersebut dikurung di dalam penjara istana selama beberapa tahun.

Pada suatu hari, putera raja dan beberapa orang pembantunya pergi ke hutan untuk berburu. Setelah lama berjalan di dalam hutan, mereka masih belum mendapat apa-apa hasil. Akhirnya putera raja berasa letih dan membuat keputusan mencari tempat untuk berehat. Ketika mereka sedang asyik berehat, tiba-tiba mereka diserang oleh sekumpulan orang asli.

‘‘Wahai kawan-kawan semua, hari ini kita makan besar!!’’ jerit salah seorang daripada mereka. Orang-orang asli itu bersorak meraikan habuan yang mereka dapat. Putera raja dan pembantu-pembantunya ditangkap dan diikat.

Sebelum orang-orang asli tersebut menjamu selera mereka, mereka terlebih dahulu memeriksa dan memerhatikan anggota tubuh badan pembantu-pembantu putera raja dari hujung kepala hingga ke hujung rambut, dan kesemua pembantu-pembantunya dibawa masuk ke dalam pondok orang-orang asli untuk disembelih. Putera raja menggeletar apabila mendengar jeritan pembantu-pembantunya. Ketika putera raja sedang melayan perasaan takutnya, dia dihampiri oleh ketua orang asli tersebut untuk diperiksa. Seperti yang dilakukan terhadap mangsa-mangsa sebelumnya, Putera Raja juga diperiksa dari hujung kepala sampai kehujung kaki, tetapi apabila sampai di bahagian jari Putera Raja yang terpotong itu, ketua orang-orang asli berasa jijik dan seperti hilang selera.

‘‘Pergi kamu! Manusia yang tidak sempurna!’’ katanya dengan nada yang marah.
Putera Raja terus berlari tanpa menoleh kebelakang dan berasa lega kerana terlepas daripada pengalaman yang dahsyat itu.

Apabila Putera Raja sampai di istana, putera raja terus berjumpa dengan ayahandanya. ‘‘Ayahanda tolong bebaskan Bendahara sekarang juga. Anakanda ingin berjumpa dengannya,’’ Kata putera raja dengan nada yang termengah-mengah. Raja berasa hairan dengan tingkah laku anaknya dan bertanya apa yang telah terjadi. Putera raja menceritakan segala yang telah dialaminya dan raja bersetuju untuk mengeluarkan Bendahara daripada penjara.

‘‘Bendahara, beta ingin mengucapkan terima kasih kepada kamu. Kamu telah menyelamatkan nyawa Beta. Kalau bukan kerana kamu, Beta mungkin sudah tidak ada lagi di sini, terima kasih Bendahara,’’ Putera Raja tersebut mengucapkan terima kasih terhadap Bendahara dan Bendahara pun dibebaskan daripada hukumannya.

Moral yang kita dapat daripada kisah ini ialah setiap yang berlaku, ada hikmah disebaliknya. Seperti putera raja tadi, kalau bukan kerana jarinya yang terpotong, pasti dia akan menerima nasib yang malang.

Dalam kehidupan kita sebagai manusia, kita akan sering diuji dengan pelbagai cubaan. Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala yang kira-kira bermaksud:
Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu cubaan sebagaimana halnya orang-orang yang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan dengan bermacam-macam cubaan. Sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: “Bilakah datangnya pertolongan Allah?”. Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.” (Surah Al-Baqarah ayat 214).

Manusia sering kali merasakan sesuatu itu tidak seharusnya terjadi keatas mereka, dan enggan menerima kenyataan malah ada yang sanggup melakukan apa saja untuk mencapai kemahuannya. Sesungguhnya Allah tidak menciptakan makhluknya sia-sia, setiap kejadian pasti akan ada hikmah disebaliknya.

Jika Allah mengambil sesuatu yang baik daripada kita, bukan bermakna kita akan kehilangan sesuatu itu untuk selamanya, akan tetapi Allah telah menggantikan kita dengan sesuatu yang lebih baik, jika ianya tidak nampak ketika di dunia maka nantikanlah ia di akhirat.

Disediakan oleh: Rafidah bte Hj Amidon.

Monday, April 5, 2010

Alahai Sahabatku.

Alahai sahabatku,
Kenapa harus kamu ragu?
Sedangkan kamu sudah mengaku,
Allah itu tuhanmu dan Muhammad itu RasulNya dan Nabimu.

Alahai sahabatku,
Sesungguhnya bingung menyelubungi ku,
Kau kata ini haram bagimu,
Tapi kau lakukannya seolah-olah ia halal bagimu

Alahai sahabatku,
Kalau sudah haram itu halal bagimu,
Bagaimana Allah akan mengasihimu?
Dan bagaimana pula Rasul memberi syafaat keatas mu?

Alahai sahabatku,
Walau hatimu keras macam batu,
Namun hakikatnya ianya lembut selembut bayu,
Dengan membaca Al-Quran dan As-Sunnah sebagai panduanmu.

Alahai sahabatku,
Kenapa harus kamu ragu?
Sedangkan yang melahirkan mu itu adalah ibumu,
Dan yang menjagamu itu adalah bapamu.

Alahai sahabatku,
Ibu dan bapamu menyanyi sayu mendodoikanmu,
Tetapi sekarang apa yang mereka dapat darimu?
Hanya lentingan yang dilontar oleh mu.

Alahai sahabatku,
Adakah engkau tahu?
Tanpa ibu dan bapamu,
Menikmati rahmat menjadi seorang manusia adalah mustahil bagimu.

Alahai sahabatku,
Sesungguhnya kasih mereka tidak pernah berpaling dari mu,
Dosa dengan Allah,pintu taubatNya sentiasa terbuka untukmu,
Dosa dengan mereka,pintu nya tertutup apabila mata ke-duanya turut tertutup,di mana penyesalan akan menghantui mu.

Alahai sahabatku,
Sesungguhnya kebingungan menyelubungi ku,
Begini kata mulutmu,
Begitu pula kata hatimu,

Alahai sahabatku,
Adakah pernah dirasai olehmu?
Apabila engkau dikhianati sebagaimana yang lain dikhianati olehmu,
Sudah tentu hancur dan luluh rasa hatimu.

Alahai sahabatku,
Dusta itu sungguh senang berlaku,
Dengan syaitan yang direjam sentiasa membantu,
Di saat inilah kebenaran itu begitu susah dilakukan untuk menebus dustamu.

Alahai sahabatku,
Selagi mana peluang terbuka bagimu,
Pohon lah keampunan dari Tuhanmu,
Minta lah kemaafan sesama manusia bagi dosa-dosamu yang telah lalu.


Disediakan oleh:
ABDURRAHMAN BIN HAJI EMRAN

Be Better, Be Best.

1.Achieve the unachievable - aim beyond what you are capable of and try to do things you’re incapable of. If you think you’re incapable of getting good grades in exam, make that your aim. Nothing is impossible.

2.Do not seek praise, seek criticism - If you ask people, ‘Is this ok?’, simple reply yet sometimes a bit dishonest you will get as simple as an ‘ok’. Instead ask, ‘What’s wrong with it? How can I make it better?’ You are more likely to get a truthful, critical answer. You may even get an improvement on your idea and you are still in position to reject the criticism if you think it is wrong.

3.It’s all my fault- Never blame others. Blame no one but yourself. You are the one to shoulder the responsibility. There are no excuses.

4.Release your ideas - Give away everything you know and more will come back to you.

5.Don’t look for the next opportunity. The one you have in hand is the opportunity.

6.Accentuate the positive. Eliminate the negative.

7.When it can be done, do it. If you don’t do it, it doesn’t exist.

8.Don’t lose hope after failing. People make mistakes. The person who doesn’t make mistakes is unlikely to make anything.

9.If you get stuck, draw with a different pen- Change your tools, it may free your thinking. Plainness does help to focus but it also can lead to dull layouts. Try filling your lecture notes with colours. It is not a solution, but it does open up the mind and it’s fun.

10.Don’t be afraid to work with the best - approach them with attitude and they will respond positively.

11.Never stop seeking knowledge. It’s endless.


Prepared by: Taahirah@Zahidah bte Hj Suleiman.
Powered By Blogger